Thursday, August 4, 2016

Tatih

Ketika sayap malam berlabuh, tika itulah engkau meruntuh. Segala rasa, asa, masa yang tertangguh, kau biarkan luruh. Perit, perit yang sesungguh-sungguh. Sakit, sakit yang melaung rusuh.

Jadi aku siapa, di persimpangan malam ini?

Bulan mengintai, sunyi. Ada melodi tersekat-sekat menguntai, seperti piring hitam yang tergarit-garit. Ah, muzika. Kau peleka. Kau seperti mereka! Yang menghunjam bahagia ke wajah aku melalui lensa, tersenyum-senyum memandang kaca perakam, bicara tawa yang kau konon sembunyi, lihat sekarang! Aku bahagia! Kau?

Kau......ada?

Aku.....ada. Aku ada di sini. Kadangkala senyum mereka terjangkit ke mari, sebelum sempat aku menangkap diriku, ah! Mengapa kau gembira sama? Kenapa kau seperti mahu berdansa? Lihat sekeliling kau, lihat......! Yang ada puing pusing segala runsing yang tidak pernah selesai. Yang menanti adalah pengharapan jiwa-jiwa yang menyangka, kau makhluk terkental. Kebal, tak termakan hina. Ampuh, tak terusik guruh.

Mereka, tiada tahu, apa di dalam sepakaiannya aku.

Di dalam sini banyak poket rahasia yang sengaja aku tak memberi baca. Sengaja. Biar aku kelihatan indah apa kiranya. Molek serba ada-ada. Apa guna memberi faham, jika tujuan cuma menghibur, aku, bukan biduan, aku, bukan seniman. Aku, tak mahu kau terlihatkan semua dan kemudian menempelak aku berkata pula,

Ah, kau ini penuh beralasan.

Memang dunia tidak berpihak di sayap kananku, sekarang. Sekarang biarkan picing matamu semakin sempit bertatang.

Tatihku, menuju bintang, melalui jalan-jalan asing bercahayakan bulan yang suram.

Aku akan tiba. Biar aku percaya. Meski aku seorang saja yang percaya.

Bintang, jangan berlalu dulu.

Tongkahku tidaklah laju, tetapi mampu.

No comments:

Post a Comment