Tuesday, February 17, 2015

Hidup Asing yang Dipilih Sendiri

Tujuh belas Februari, Dua ribu lima belas.

Malam jadi sibuk
Siang jadi naga
Beradu lelap tak terjumpakan sesiapa
Mengendong mutiara masa dan alamnya

Ini pilihanmu sejak dari mula
Ruang mengeluh sudah terkambus
Hitam pekat lohong terhapus
Tertolak-tolak dayamu membangkit diri
Menyelak tirai hari-hari di luar imaji

Kawan telah lama berlalu pergi
Menjinjit anak di bahu kiri
Memimpin tangan suaminya kini
Kau masih di pusing-pusing
Lirik lenting yang sama
Keluh gelisah yang tak ada suara
Bunyi tanya mengenai kahwin 
Seperti melihat kapal terbang makhluk asing

Inilah duniamu yang tak terbayang di waktu kecil
Saat mana kau fikir semua tayangan hidup
Cuma berisikan masa kerja pejabat
Dan disambut kopi di muka pintu di kala penat

Sudah lama orang-orangnya berdiam di sini
Kau yang masih mentah
Yang masih rindukan matahari merah
Belum biasa dengan dunia gelap sepanjang masamu 
di luar sosok bangunan putih tersergam gah

Tapi yang mengetuk jiwamu
Cumalah secebis senyum dan keterlepasan Terima kasih
Di balik sekaan keringatmu
Yang membuat semua impianmu menjadi ayat Tak mengapa
Fana tetap fana
Aku di sini mengumpul duit maya
Untuk digunakan di alam baqa

Aku rindukanmu, matahari yang merah.

(Ini untuk kamu, Siti Nur Amirah, yang tidur di siangnya dan malam berjaga, demi kelangsungan perjalanan si rumah sakit di Jabatan Casualty.)

Sunday, February 15, 2015

Spontan

Mari lakukan sesuatu yang spontan
Memecah kerutinan yang merengsakan
Terus memecut jauh dari pandangan tanpa nada

Mari lompat tinggi ke awan
Atau mencuba aiskrim durian
Bergelak ketawa sambil mengayuh sampan
Di taman rekreasi yang tak pernah kita singgahi

Mari belajar bermain bola sepak
Di tengah laman bersama kanak-kanak
Atau melagukan syair klasik
Dari buku puisi kedai terpakai

Mari lari dari biasa
Lama-lama menjadi kaku atas satu jalan yang rata
Tak ada naik, tak ada turunnya
Mari hindarkan bosan dan durja
Bangkit menjadi lebih bahagia

Kerana yang tak dirancang itu, sering mengejutkan mata gembira yang telah lama mati.

Saturday, February 14, 2015

Sedekah, dan Peluang yang Terbang

Aku terlepas peluang untuk bersedekah pada seorang pakcik tua peminta sedekah ketika sedang minum jus di kedai jus petang tadi. Serasa aku, aku hanya membawa Rs.100 saja untuk minum jus. (Segelas jus berharga lebih kurang rs40 hingga rs70) Lalu aku menyangka aku tak ada wang lebih, jadi aku menyuruh saja pakcik itu pergi. Pakcik itu sangat tua, pakaiannya lusuh, tak mampu bercakap, hanya bunyi "aak, aak" saja keluar dari apertur bibirnya. Namun memikirkan yang aku tak mahu jadi tukang cuci gelas sambilan kerana tak mampu membayar harga segelas jus, aku tak periksa pun duit yang ada dan cuma meminta pakcik itu pergi. Tuan kedai jus, bila nampak situasi itu dan (agaknya, aku tak tengok ekspresi pakcik) wajah kecewanya, memberikan dua biji pisang pada pakcik itu dan memintanya untuk pergi dan jangan kembali lagi. Setelah habis segelas jus epal-strawberi dan buah bicara, aku pun mengeluarkan duit dari celah bekas telefonku. Rupa-rupanya aku bawa Rs150. Sepatutnya cukup saja untuk disedekahkan pada pakcik tadi, tapi bila aku tersedar, peluang aku telah terbang begitu saja dan takkan kembali.

Dah berkali-kali aku mengalami situasi ini, namun aku tak pernah tergerak untuk periksa dahulu. Sungguh bebal orang yang telah mengalami benda yang sama berkali-kali tapi tak pernah belajar daripada kesilapan. Tak tahu ke sedekah tu menghapuskan dosa-dosa kecil? Dan membawa berkah pada kehidupan? Padanlah kehidupan kau seringkali menyedihkan dan mengecewakan saja sejak akhir-akhir ini.

Bila tiba waktu tengah malam, dan memikirkan dosa-dosa lampau yang perlu ditaubatkan dalam sujud seterusnya, wajah dan suara pakcik tadi seolah memanggil-manggil aku. Terima kasih pakcik kerana mengingatkan saya untuk lebih ringan bersedekah selepas ini, semoga pakcik dikeluarkan daripada belenggu kefakiran dan tak payah meminta-minta lagi. Amin.




Thursday, February 12, 2015

Tiga Hari Terakhir di Jabatan Kanak-Kanak

Hari OPD terakhir dalam unit Paediatrik.

Aku akan rindu untuk mengagah anak-anak kecil bergigi susu, untuk membuatkannya rasa senang sementara stetoskopku sibuk menangkap tona nafasnya.

Aku akan rindu mengira-ngira dos ubat yang pelbagai itu, terselit sama sedikit rasa risau kalau-kalau aku tersalah kira dan terlebih atau terkurang dosnya.

Aku akan rindu senyuman bangga sang ibu bila aku khabarkan berat anaknya semakin meningkat, yang bermakna anaknya sedang membesar dengan sihat.

Ya, aku memang tak suka budak-budak yang mengada-ngada. Yang menangis tak kena tempat. Tapi aku juga suka bila anak-anak yang naif sibuk bertanya itu ini. Mengingatkan aku pada zaman itu. Semuanya kelihatan menarik untuk diambil tahu. Aku makin tak kisah dengan banyak perkara akhir-akhir ini. Jumpa budak-budak yang baik dan cerdik, aku turut terinsaf sama.

Selamat mengharungi tiga hari terakhir Paediatrik, Dr. Khairunnisa.

Berhenti Sejenak.

Terlalu lama rasanya tak mengukir sebarang lisan fikir di ruang ini.

Masih lagi dalam kesibukan yang bukan-bukan. Aku selalu terlupa tujuan asalku. Aku selalu mahukan bahagia yang kelangsungannya seketika cuma. Lupa. Lupa. Menjadi makna sebenar Insan.

Kadang-kadang meski masa kosong terlalu banyak, aku isikan dengan risau yang bukan-bukan. Risau akan perkara yang tiada ertinya dalam masa, sejam, bukan, seminit kemudian. Kemudiannya pulang, mengurus diri, mengosong minda dalam tidur tanpa mimpi dan harapan.

Ada masa, aku renung langit. Langit di sebelah sini semakin hari semakin biru, menyongsong musim dingin yang semakin hilang. Terkesima dengan rona luas dan terang tinggi itu, hati aku seolah diterangi sama. Aku sedar aku sedang lemas. Kegawatan yang aku rasa di dalam, semuanya tak penting. Tak ada rentak. Tak ada kesan. Biarkan, lemparkan. Jangan ganggu aku, pergi jauh ke sudut paling tak termahu. 

Langit kecilkan mata aku, tapi pecahkan ais beku berkelambu di ruang sebelah atas.

Dunia kecil dan sibuk yang menghimpit, cuma mata minda yang kelabu. Tirai masa nampak kelam, tapi belum bersingkap. Kau tahu dalam masa setahun lagi, kau cuma akan ketawakan diri sendiri atas kegelisahan melampau kau atas perkara remeh-temeh seperti masa sekarang ini.

Apa salahnya ketawa lebih awal, meski tersorok-sorok letusan gembiranya? Bukan kau yang kawal masa. Bukan kau yang kawal rasa. Tapi kau boleh pilih untuk kadang-kadang menjadi insan, yang berkata, ah, ini sementara. Kalau aku berjaya lupakan bosan harini, tangis malam ini, dan katakan semuanya pasti akan berlalu setelah tiba jam pagi, pasti tiba-tiba jiwa kau lebih perkasa bangkitnya.

Bangun dari keluh. Tidur dari peduli, yang itu-itu lagi.