Wednesday, November 22, 2017

Satu.

Kerana aku lebih sering mengantuk daripada benar-benar sedar. Kerana aku lebih kerap letih daripada sasa. Kerana aku...ingin meraikan keseribusatuan rasa yang tercantumkulum.

Di sini aku wujudkan, #puisikantuk.

Seperti biasanya, dariku untukku dan cuma berlegar di semesta seorang aku saja.

#1

Ada suara-suara dalam bahasa negeri matahari terbit
Bercicip terus, sulit
Aku ingin meneruskan cita-cita mata
Dan harap segala nusa
Aku ingin rebah,
Di sepenuh hangat pelukanmu
Namun rantaian bakal jadi hari esok
Enggan melepaskan aku.

Mimpi,
Tunggu dulu.

Beradu belum temu,
Langkahku sendu kearahmu.

Akan kumatikan segala kumat-kamit dunia, sebentar lagi cuma.

Bukit Mahkota,
2349H 221117

Thursday, November 16, 2017

Satu Dina

Aku sudah membeli senaskhah buku nota yang paling sempurna untukku coretkan kisah-kisah sendu dan tangis kita, diri.

Helaian orennya kelihatan begitu ampuh dan mantap sekali. Kata penjualnya, amoi comel manis manja kelahiran Ipoh itu, halamannya takkan ditembusi hatta dek dakwat marker permanent sekalipun. Aku keliru apakah aku tertarik dengan fakta mungkin ia juga kalis peluru dan airmata, atau senyum bermadu amoi Ipoh mali, atau coretan kakak Emoqwin di muka hadapannya. Harganya yang lima belas ringgit itu terasa sungguh berbaloi dengan kualiti dan rupanya yang acah-acah hipster itu. Duit berganti tangan, buku kini kubeban.

Beban untuk cita-cita satu puisi, satu hari.

Tapi sehingga kini, satu hari sudah kelihatan seperti "suatu hari nanti."

Betapa pendustanya engkau, hati, bila engkau gelarkan dirimu pemuisi, tapi kata kau jauhi,

Kata kau jauhi.

Menangis mengongoi buku nota berlaman jingga di dalam dashboard kereta, siapa yang tahu?

Satu dina, satu puisi.


*dina - hari dalam bahasa Kannada

Tuesday, November 14, 2017

Takziah-(2)

Dan celakalah insan yang masanya terbuang tanpa mengingati Tuhan yang menganugerahkan setiap titis nafas, dan keringatnya yang terlepas,

...sia-sia, sia-sia

Untuk apa bercerita muluk, sayang. Langkahmu perlahan, hatimu rentan.
Langkahmu perlahan, hatimu rentan.
Langkahmu perlahan, hatimu...

Ingatlah Dia, Tuhan.

Dia akan membasuh jiwamu yang rusuh dengan segenap tangis berselusuh.
Rapuh, tiadanya ampuh
Engkau meniti tiap-tiap pecah kaca tanpa tawa yang beritma-
Perit,
Perit,

Sakit!

Tuhan, aku berdosa. Aku inginkan manusia.

Lupanya aku padaMu yang akan senantiasa ada, walau aku dipersia, walau aku dinista.

Hanya Engkau, Tuhan.

Takziah diriku, semoga tertemukan...horizon sebuah ampun.

Friday, November 10, 2017

Takziah

Kadang-kadang aku bertanyakan pada bintang,
Mengapa dia datang
Bikin malamku terang
Malahan asa kian benderang

Tiba-tiba bintang pergi
Dalam kesayupan, berbisik kembali-
Bintang tidaklah abadi, bisa jua ia mati.

Papan Kait

Setiap urat benang yang kukait adalah simpul-simpul hidup-
Luka, tawa, kecewa, dendam sukma
Membikin lagu dan prosa di atas kanvas putih yang kini berbagai warna cerita
Kisah-gelisah kita dan dia

Keseringkali aku menoleh dan berkalih lagi-
Bertambah tona jahit yang termateri
Pinta diuji, ditatapi
Bersedih usah, tenanglah
Jika koyaknya ia, terangkatlah
Segala kenang-kenang, takkan bisa lapang ruang engkau yang senantiasa bingit
Diusik warna dan kata jelira, sempit diasak bisik suasana...

Marilah beradu dulu, pinggirkan durja.