Di pagi keterjagaanmu, Mira
Disapa sejuk mentari dan hangat embun
Meraikan kejayaanmu
Sebagai seorang lagi kalangan pengantara
Kesedihan dan penyembuhan
Yang dikuasakan Tuhan.
Belum sempat lagi kau lihat airmata yang gugur dari seorang ibu
Menebar suara hati, melihat gering anakandanya
Dan kau harus saljukan bibit lara itu
Dengan senyuman paling menawan dan jelita
Untuk mereka percaya yang harapan masih ada,
Seolah tak ada satu Kesedihan pun bertamu sama di hati engkau.
Ah, pedulikan semesta dulu di hening dini ini
Kerana yang menanti di Sungai Petani
Sudah bersusah-susah memikirkan juadah apa
Buat santapan Sang Anak Si Tuan Doktor
Di pengakhiran minggu nanti.
Bangga aku tak terungkap padamu
Terjumpanya kita di rumah enam belas, di umur lapan belas, masih berbekas
Dan ketawa masih terbit di jelamanya aku setiap kali menatap wajah-wajah naif kita
Yang merasakan terbang ke India mencari sesuap ilmu
Adalah perkara paling besar dan paling agung di seluruh belantara dunia.
Sayangku, jangan kau lupa sahabatmu ini
Kala kesibukan menjelma dan kau perih lagi
Kau runsing lagi dengan segala entri dan sentri-
Selitkan ruang doa untuk aku
Dan semoga saja kita menjadi adiwira
Yang berjaya fikirnya, meski dunia terus menggila.
Selamat menjadi doktor, Nur Amirah.
Nota kaki: Nur Amirah Ayob adalah seorang sahabatku, berasal dari Sungai Petani, Kedah. Periang dan sering melakukan typing error secara luar sedar. Amat baik hati sepertimana ibu bapanya. Merupakan rakan sebilik di Kolej Teknologi Timur, Sepang ketika kami menjalani Cambridge A-Levels.
Dr. Nur Amirah Ayob kini adalah seorang doktor dengan ijazah MBBS daripada Manipal University.