Friday, March 22, 2019
Catatan Kecil-
Rasanya sudah terlalu lama aku tak mencoretkan apa-apa anekdot hidup di ruang sebelah sini. Separa berusul dari niat menjadikan blog ini, natijahnya berisi puisi-puisi; separa lagi kerana...aku sudah lama tak memiliki laptop. Terasa juling mata mahu menaip selain dari puisi-puisi pendek di telefon bimbit marhaen milikku. Alhamdulillah ada rezeki kali ini, aku berjaya mendapatkan sebuah laptop baharu. Hadiah untuk diri sendiri, setelah berjaya menghabiskan tempoh housemanship. Aku selalu hadiahkan diri sendiri sesuatu setelah mencapai satu-satu matlamat/ujian hidup, haha. Maklumlah orang solo. Siapa lagi nak hargai diri ini, kan. *pengsan terharu
Dalam masa kurang lebih dua minggu, aku akan berangkat ke Johor, untuk memulakan babak hidup baharu dengan jawatan Medical Officer. Walaupun belum bermula, sudah terasa berat tanggungjawabnya. Tugas seorang MO jauh berbeza dengan hidup waktu HO. Kadang kala kau perlu buat keputusan-keputusan berat di saat-saat genting hidup pesakit. Aku terasa sangat tak bersedia, tapi aku mengerti dalam perubahan fasa, manusia takkan pernah rasa cukup bersedia. Selamanya kerisauan entah apa akan kekal berlegar dalam cerebrum, sampailah masa membasuh semua resah. Haha. Gittew sangat. Nota: aku akan banyak ketawa bila aku resah, takut, dan keliru.
Mungkin cita-cita aku untuk menyambung pelajaran, menduduki paper MRCPsych tahun hadapan sedikit sebanyak membuang rasa gelisah. Sekurang-kurangnya fikiran aku terisi dengan atur-aturan bagaimana membahagi masa untuk belajar dan hidup. Mungkin saja buku dan jurnal akan menjadi sahabat baikku di Johor nanti, kalau pun tak ada yang sudi berkawan denganku kelak. Aku faham, di fasa ini, bukan semua orang bersedia menjadi kawan. Sekitar umur yang banyak tanggungjawab, komitmen dan masa depan yang perlu diuruskan.
Esok, aku akan ke Kuala Lumpur (ewah macam jauh sangat dari Bangi) untuk acara Solidarity with Palestine anjuran GEMA Selangor. Ini pertama kali aku mengikuti aktiviti seperti ini, sebelum ini cuma mengikuti di sosmed atas sebab kekangan masa. Aku harap ia akan menjadi pengalaman bermakna dalam hidup aku, kerana aku sudah lama mengikuti perkembangan saudara Islam yang tertindas di Palestin, tapi selain sumbangan yang tak seberapa, rasanya aku tak pernah terlibat secara sosial untuk berdiri bersama mereka.
Baiklah. Sampai sini saja. Aku masih teruja untuk meneroka fungsi-fungsi lain laptop ini. Haha! Maaf, sis excited.
Runut: Catatan Kecil - Adera
Keon
22/3/2019 Bukit Mahkota
Thursday, March 21, 2019
Selamat Pagi
Tersusup gemerincing hari
Di sunyi kepagianku
Menggoncang kantuk
Bertamu bang berketuk
Garis masa depan diam, dadanya memendam impimu dan mendakap malam, tidur, tidur
Aku bangun mendepa tangan
Sedia memeluk laba dan kemungkinan.
Friday, March 15, 2019
Bye
Menjadi dandanan petang
Langit semakin merah
Menanda kalendar tiapnya pangkah, pangkah
Kilauan emas di pinggir Batu Caves
Teroboskan mimpi manis
Titik akhir kian hampir
Laung selatan mendekat mampir
Tuesday, March 5, 2019
Anugerah
Tepuk tangan adalah sorak sorai hati
Semangat bersama dan cinta jaya
Girang dan tinggi menutup sisa-sisa noda iri yang berteleku di jantung sesetengah.
Seteru hilang dalam derap-derap telapak
Engsel lutut melurus
Yang berhadapan, lega dan haru
Platinum membaharu, kilau teraju.
Monday, March 4, 2019
Tari Akhir
BERHENNNNNTI!
Inang-inang yang kutakuti pasti datang
Membawa gemalai, dan rusuk berkelibut.
Fasa
Sebuah tidak pasti telah membunuhku sebelumku mati.
Sebelum aku orak langkah-
Nanti, nanti dulu
Sebelum aku hilang pangkah-
Tarik, hembus nafas satu-satu
Belum terluang masa untuk kususun kata berlipat di sudut meja, ah
Belum tersirat samudera kusut bergema laung dalam dada
Yang melihat, engkau
Engkau dan engkau jua
Perjalanan fasa selalu tidak seiya dengan tempo hati
Jiwaku balada
Nafasku klaustrofobia
Meringkik lelah hampanya entah
Melarik parah di selaput resah
Engkau bilang aku cuma panik,
Panik cuma aku
Malaikat lalu mungkin kaget,
Suntikan rahmat terjatuh, ah
Tak layak aku sulamkan plastik
Segera ia terkoyak rabik
Impian kita jauh tersisa
Dunia merengsa
Selesa
Mana?
Ini bukan syurga
Materi-materi terus mengolok
Ketawa ia tersohor
Kelabu mata termahsyur, apa
Suria kau katakan kabur
This is just a phase, kawan
Kau tenang cuba-cuba lawan
Tak perlu baling pinggan cawan
Tak baloi angkara dengan pelukan
Peluk aku sepanjang malam, jangan kau tinggal
Aku tak percaya masa depan, suatu kelak itu penanggal
Usus terbarai semuanya
Separuh hati hilang asanya
Jika kau hulur tangan sekarang
Tetapkan aku, halangku terbang
Jatuh.
Lawan.
Jatuh. Lawan. Jatuh, lawan. Jatuh, lawan!
Sebuah baharu menanti di tinggian awan.
Bajuku belacu, hina di pinggiran
Tak ada yang memacu, hela dipamitkan
Pergi saja. Baru kau tahu, semua.
Runut: Tinggalkan - Giant Prayudha ft. Tulang Kata & Sharon Richard
Friday, March 1, 2019
Kasmaran
Tinting-tinting parah
Nafas berlumur sesah
Nanti dulu
Biar kukunci percaya di atas batu
Bukan di ambal ini, nanti habis
Kristal berkecai kau bilang magis
Lihat padaku, tak perlu bermuka-muka
Rencam dunia di hujung mata
Terlalu, rusuh terlalu
Berlalu, harap berlalu
Gesa-gesa tak bikin jalan pintas, terlicik tertingkas.
Renung kalimat kalbu.
Atur langkah, baldu.