Wednesday, June 29, 2016
Empat Lima Enam
Ramadhan kali ini ramainya berbaris
Di jalan raya
Di butik ternama
Di gerai roti john terlaris
Apa yang kau dapat
Apa yang kau kikis
Dosa kau tepis
Duit di poket habis
Lepas raya kau bebas,
atau kau nangis?
Aku tak mahu terjebak sama
Tapi letih selalu menggila
Tuhan, selamatkanlah jiwa
Jangan biar aku teralpa
Tahun depan tak ketemu terawih
Lagi enam hari
Baru tersedar perih
Surau, di tepian gebar aku tersisih.
(Lost all sense of rhyming. Maybe meaning, too. Life's a bit hectic, kinda ironic, kau nak ajar budak erti Ramadhan tapi kau yang tersungkur di perlimbahan kesabaran. Pahala luntur, syukur ke mana. Hati bonda ayah siapa mahu jaga, jika bukan kau. Ah, bingung. Yang boleh selamatkan kau cuma yang Maha Esa, Khairunnisa.)
Saturday, June 25, 2016
Seni Mengabadikan
Seni (II): 1. karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan 2. kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dll) yang indah-indah.
(Sumber: Kamus Dewan Edisi Ke-empat)
Seni adalah segala-gala yang ditakrifkan, dan lebih lagi.
Seni adalah makam pengabadian.
Pengabadian ingatan, kesakitan, pengalaman, citarasa, pertelingkahan, kekecewaan, idea dan harapan.
Menerusi seni (yang saya ambil dari maksud seni kedua, sebuah karya) seseorang yang lain boleh melihat segala yang mahu dikatakan oleh pengkarya, zaman berzaman. Abadi. Diwarisi, direnungi, ditilik bila terjumpakan.
Tolak tepi segala karya lagenda agung Michelangelo, Picasso dan Shakespeare.
Pernahkah engkau terjumpakan sajak yang kau karang dari zaman persekolahan, dan kau membacanya semula?
Tika mana kau tertawa mengenangkan kenaifan seorang engkau di waktu itu, kau tak sengaja menghargai. Dan sajakmu telah berjaya mencapai abadi.
Seni selalu mengelabui dengan wasap kasturi keindahan dan keasyikan.
Seni juga selalu menjerit kesakitan.
Seni juga selalu tersenyum keriangan, menjemputmu kepada ingatan-ingatan sendiri yang tiada kaitan pun dengan pengkarya tadi, apa lagi kuntuman bunga santaliya yang berbalam-balam di lukisannya.
Seni tidak pinta diingat.
Tapi sekali kau menyelaminya, ia terpahat.
Lalu ia pun menjadi abadi, dan kekal menyingkap pandangan engkau tentang kesinisan dunia.
Seni itu tabir realiti yang tidak memaksa.
Kau mahu melihat, silakan.
Kau tak betah di persinggahan, selamat jalan.
Biarkan kami abadi, dengan indah-indah wangi sendiri.
Meski dimabuk seni, orang seni tidak akan alpa.
Bahkan matanya terbuka, menelurusi perincian alur-alur kayu, dan riak-riak air,
Yang kocaknya sama seperti ketar kakinya kala gadis itu mampir.
Selamatlah dikau, menuju pengabadian.
Di setiap titis perasaan dan warna di perlimbahan;
Kau temui indah, dan coretan
yang tidak henti-hentinya berjalan sepanjang zaman.
Hari-hari Kita Makan Taugeh dan Tauhu
Juga tempe, tapi bukan budu
Menu-menu yang selalu-selalu
Ayah suka, yang lain mengadu
Kembali ini, kembali ini
Bila mahu berjumpa sawi
Kailan juga lama dirindui
Apa khabar agaknya tangkai brokoli
Ini sahaja yang aku mampu
Malahan habis sekelianmu sapu
Tidak bersisa walau sesudu
Mengomel apa pun kan temu buntu
Hari ini ummi tak ke pasar
Tiada peluang mahu menyasar
Jika dibiarkan orang lelaki
Balik-balik selera sendiri
Tekak anak menawar mati.
Ingat kembali,
Adakah secebis syukur di nurani? ;)
Makanlah taugeh dan tauhu setiap hari.
(Kami anak-beranak masih tak berpuas hati. Haha. Astaghfirullah syukur masih ada hidangan tersaji.)
Friday, June 24, 2016
Bronchitis
Aku begitu gusar mendengar desah nafasmu yang menderu. Letupan-letupan di hujung corong itu ku tala bimbang, satu persatu. Ku rangkul ia dengan cefuroxime axetil, lantas ia kembali mungil. Arakian, satu minggu pendakapanmu. Di kehilangan sononya, ku tempiaskan alunan mesra- Lega, Meski kau benci, menenggoroki Izrail kuman nafasmu sendiri.
Sempit
"Sempit itu kan mesra."
Jika kau berada dalam kelompok yang kau akrabi.
Jika tidak-
Sempit itu perit.
"Cubalah belajar beramah-mesra."
Oh, jika kau tahu kesusahannya sebuah ramah di segenapku.
Bolehkah engkau beramah dahulu? Nescaya aku akan membalas dengan senyuman palsu- yang mungkin saja disambar ikhlas bila ku dapati engkau benar-benar menyenangkan.
Diam dengan orang yang pernah kau akrabi juga sesuatu yang perit.
Jangan saja kita.
Jangan.
Terlalu rapuhku.
Terlalu.
Diintai Yang Adakah-Adakah
Pagi ini aku direnggut lagi
Oleh adakah-adakah yang tak tahu sepi
Membingit di hari
Menggisi di hati
Adakah pertama menggegas lengan
Adakah bonda betah di penghidupan
Bakteria jahat mengganggu kepalanya
Kerengga tenat menghurung jasadnya
Adakah kedua mengikat belikat
Perlu di sini atau lekas berangkat
Ada anak kecil menunggu guru
Ada pula suka ku tak bertamu
Adakah ketiga merejam kaki
Ujian memandu dua bulan lagi
Salah kedemaman atau kerinduan
Hendak ke kerja merayu dihantarkan
Adakah keempat menikam kalbu
Apa tersasul peluru kataku
Jika bertingkah, maaf-maafkan
Kadang bicaraku memang kurang siuman
Segala adakah, memaku telapak
Dan tangan terkulai menopang doa
Pinta ku lancar, pinta ku saksi
Bangkit bermandi air berani
Selimut masa depan ku layang ke langit
Percaya aku, ia pasti terbang sendiri
Bukan talinya di hujung kudung jemari
Aku menggulung gebar Adakah, dan mematikan penghawa dingin yang serba risau
Aku yakin di setiap jeda dan ketelangkupan-
Aku ada Kau.
Wednesday, June 22, 2016
Langkauan Patut
Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Engkau
Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Terpukau
Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Melilau
Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Kuratapkan sampai sasau
Berhentilah bertanya kenapa.
Hati hiba bertimpa.
Lagi kau tanya kenapa,
Lagi kau tak patut bertanya.
Bertapa
Biar hilang rasa dan murka.
Kenapa.
Monday, June 20, 2016
Sayap Origami
Lipatan-lipatan kertas menyulam rasa
Dan bisikan burung ligat berdansa
Kuterbangkan kepada langit menjadi pari-pari
Segala gundahku ia memeri
Memetik siul-siul listrik kecapi
Membait sinis lagu cinta mengapi
Bunga tariku, hati-hati
Tebar sayapmu, lali-lali
Jangan tumpahkan nyawa di balik pelepah
Kelak terpana pepasir amarah
Aku malu berkata denganmu
Lalu aku layangkan paruh origami
Di arena ini, lama sekali ia bernyanyi.
Sunday, June 19, 2016
Ayah Saya
Ayah dan saya adalah satu perhubungan darah yang kadang-kadang baik, kadang-kadang diam, kadang-kadang tahan marah dan kadang-kadang suka berbalah.
Saya tidak mewarisi kesabaran ayah dalam menahan marah. Tapi saya mewarisi sifat introvertnya. (walaupun saya cuba untuk bergaul seperti seorang extrovert- walaupun jarang berjaya- atas protes ummi saya, seorang extrovert yang tidak memahami konsep introvert-extrovert dalam personaliti seseorang, yang selalu buat saya lelah.) Saya dan ayah sama-sama boleh duduk di sebelah orang yang tak dikenali tanpa bercakap sepatah haram pun berjam-jam lamanya. Bila ummi tanya, tak rasa bersalah ke? Kami lekas menjawab, Salah apanya? Haha.
Saya tidak tahu bahagian mana wajah saya yang mewarisi wajah ayah. Kata ummi, wajah anak selalu mengikut siapa yang lebih sayangkannya- bonda atau ayahnya- dan dalam kes saya, wajah ummi dan ayah terlalu bercampur aduk sampai tiada wajah yang dominan, bermakna kedua-dua ummi dan ayah terlalu sayangkan saya. Orang selalu katakan wajah saya dan ayah sama- kerana kami memakai cermin mata. Tapi sebenarnya tidak. Orang tua saya yang kata.
Saya tidak mewarisi kesetiaan (atau ketaksuban) ayah kepada sesuatu. Saya lekas bosan, macam ummi. Ayah sangat taksub dengan bola. Jika kami adik-beradik mahu pergi ke mana-mana atau ada urusan penting waktu ada siaran bola di televisyen, anggap saja ayah tiada di rumah. Ummilah yang perlu menghantar (atau sewaktu ummi belum pandai memandu dulu, makanlah hati berulam jantung bila dah bersiap nak makan di luar dan tiba-tiba ayah teringat malam ni ada match bola di kaca TV. All plans cancelled stat, sampaikan saya benci lelaki-lelaki yang minat bola.) Bulan lepas ayah gilakan ceramah Dr. Zakir Naik. Pagi petang siang malam tengok di Youtube sampai ummi perli-perli. Ayah boleh makan benda yang sama berulang kali tanpa variasi. Hari-hari makan sayur kobis masak lemak pun boleh. Mujur ummi tak layankan sangat kehendaknya. Kalau tidak, dah lama ayah terkena penyakit kronik mungkin, makan santan tiap hari. Tapi kata ummi, ayah setia. Tak bertukar-tukar tempat kerja selama 30 tahun walaupun boleh saja dapatkan peluang lebih baik di tempat lain. Sampailah pencen. Ummi lega juga, kerana ayah setia. Mudah dijaga, katanya.
Saya mewarisi sifat tidak betah terhadap kesalahan tatabahasa dan grammatical errors daripada ayah, haha! Setakat ini cuma ayah saja orang tua yang saya kenal menyebut Whatsapp seperti ini: What's App, dan bukannya sebutan wasap wasep yang merimaskan saya itu. Ayah selalu point out papan tanda dan sarikata filem yang salah tatabahasanya, dan betulkan.
Saya selalu tak perasan ayah saya orang yang bagaimana sampailah saya rasa saya mahu melihat betul-betul ayah saya ini.
Ayah susah marah sampaikan dalam hidup saya, saya pernah dilibas tali pinggang oleh ayah sekali saja waktu sekolah rendah. Saya tak pernah ditampar, dirotan, diugut, dimarah keras oleh ayah. Walaupun saya rasa kadang-kadang kelancangan saya layak ditampar atas status saya sebagai seorang anak. Ya, saya berdarah panas dan lidah saya boleh tahan pedas, ini saya warisi dari ummi. Tapi ayah tak marah. Ayah kadang-kadang mempamer rasa tak selesa dengan kata-kata saya dan terus diam saja tanpa kata.
Ummi cerita, setiap kali ummi bersalin, ketujuh-tujuh anak ummi akan ayah belikan baju, katil bayi, buaian, walker, kerusi makan bayi, mainan, botol susu dan segala-gala kelengkapan baharu. Walaupun ayah bukanlah orang berada, tapi itulah cara dia menunjukkan sayangnya. Anaknya yang tujuh orang ini hampir tidak pernah memakai barangan turun-temurun- tradisi biasa dalam keluarga besar lain. Baju dan kelengkapan kami yang lama (lama di sini dikira setelah mendapat anak baharu) biasanya diberikan kepada sepupu-sepupu dan saudara-mara. Mungkin sebab itulah saya, tiada attachment terhadap barang-barang. Kurang perasaan sentimental terhadap barangan, kerana bagi saya, patah tumbuh hilang berganti.
Ayah tidak pernah kata tidak boleh jika kami meminta hantarkan ke mana-mana (kecuali jika ada siaran bola sepak.)
Ayah mahukan anak-anaknya semua belajar sehingga mendapat kelulusan ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya. Walaupun cuma baru saya saja yang menghabisinya dan dua orang adik saya tidak berapa minat belajar. Untuk tujuan belajar, jika diminta apa-apa ayah tidak mengeluh. Yang kami perlu lakukan cuma minta (yang ini memang saya seorang yang menggunakan sehabis baik sifat ayah, haha, adik-adik yang lain tak berani mesti melalui ummi, atau sebenarnya mereka tak kisah sangat pun tentang nak beli buku rujukan untuk setiap subjek seperti saya, haha.)
Dalam adik beradik, yang paling boleh bercerita dengan ayah cuma saya. Adik-adik tidak banyak bicara dengan ayah. Kadang-kadang ayah terlupa anak-anaknya sudah besar, dia bercakap dengan kami seperti bercakap dengan budak kecil, cara menarik minat kami juga tak berubah, mungkin sebab itu adik-adik saya berjauh hati dan jarang sekali berbual dengan ayah. Padahal ayah boleh dibawa bercerita soal-soal serius orang dewasa, seperti pembelian rumah dan jenis-jenis kereta. Eh, patutlah adik saya tak pandai bersembang dengan ayah. Dan saya juga orangnya yang paling selalu berbalah dengan ayah.
Di usia ini dan di usia ayah waktu ini, saya ingin sekali menyantuninya dan kurang mengkritiknya. Kadang-kadang saya terikut sama bila ummi mengkritik ayah. Tapi yang paling saya mahu sebenarnya, adalah making peace with apa saja perangai ayah, kerana saya sudah mula sedar yang saya sudah dewasa dan kawan-kawan saya ada yang sudah kehilangan ayahnya.
Ayah saya tidak sempurna, tapi dia manusia, dan mana ada manusia yang sempurna.
Ayah saya adalah ayah saya, dan selamanya akan saya sayang dengan cara saya sendiri.
Happy Father's Day Ayah, terima kasih untuk segalanya yang tak terucapkan.
Saturday, June 18, 2016
Ara
Kita akan bertemu lagi
Dalam kedap dakap hawa kereta
Menuju perkumpulan minda-minda
Yang dulunya cilik
Sekarang membugar
Aku menebak kata-kata akhirku padamu di tahun lalu kala kita berjumpa-
Juga impromptu, seperti ini
Kenapa sering kebarangkalian rawak menyukai kita
Lalu berlanggar nasib-nasib dan jodoh semesta
Engkau, sudah dewasa kini
Dan aku, tak bisa bertanya lagi
Soal kegemaranmu aiskrim keladi
Atau soal kerjayamu yang mungkin fancy
Kita, sudah menjadi orang asing
Aku selalu mahu mengasing
Tapi langit
Belum mahu kita menyingsing
Entah apa yang akan ku katakan padamu dalam waktu sekian lama itu di dalam keretamu-
Cukupkah desah nafas janggalku
Dan kuharap kau lah yang memecah dulu
Dinding-dinding kedinginan dengan ketawamu yang seumpama rama-rama menari
Lalu aku juga sama-sama terpanggil
Seperti tidak pernah ada kebersamaan dan keberasingan dalam kesilangan carta Vern kita
Kepalaku sudah bising memikirkan runsing
Semoga kita akan mengambil yang terang-terang
Dan segala lalu, terhabis baling.
Friday, June 17, 2016
Engkau
Tuan yang matanya cemerlang,
Berhenti meragut di padang hijau hatiku.
Kita tidak mungkin
Meski kau memangkin
Aku gelisahnya tak bertemu sudah
Bahkan semakin-makin
Hentikan, henti
Hendak ku cucuk saja bintang di matamu
Ku ratahkan jadi yong tau fu
Mengisi kelaparan jiwaku yang kau bakar selalu
Panas amarah ini bila kita tak jadi ketemu
Aku semakin ngilai dan ngilu
Basuhan puasa sedikit melegakan
Tapi kau tetap tak terlupakan
Sudahlah
Habisilah
Kisah kita takkan pernah sudah
Kerana sudah hampir patah
Tanganku merah, bertepuk sebelah.
Mimpi
Kebelakangan ini, aku selalu tidur melepasi jam 12. Walaupun esoknya aku perlu bangun jam 4.30am untuk membantu ummi masak sahur (kadang-kadang terlepas ke jam 5) dan terus bersiap ke tempat kerja.
Aku tak sempat segala yang tak sempat. Tapi aku masih sempat menaip di sini, haha!
Mimpi aku selalu berisi budak-budak tadika berlari-lari di sekeliling aku, memeluk aku, bersandar di lenganku, mencium pipi aku dan kemudian lari sambil ketawa nakal.
Semua perkara-perkara yang aku lalui tiap hari. Nampak tak betapa rutin kehidupan aku. Sampaikan waktu mimpi pun tak terfikir benda lain. Anugerah guru dedikasi seharusnya diberikan kepada Teacher Nisa diiringi gerak tangan Good, Good, Very Very Good oleh barisan anak-anak murid.
Tadi ada sahabat memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya tahun depan. Minggu lepas dia cemburu dengan aku, kerana aku selalu dikelilingi anak-anak cilik.
"Untunglah kau ramai yang sayang," katanya.
"Sayang-sayang pun anak orang weh," balas aku.
Sekarang aku tak tahu adakah putaran cemburu telah terbalik atau sebenarnya aku yang sedikit keliru kerana teman makan aiskrim aku di Davangere Darul Vavi bakal menemui sahabat baik baharu.
Dan aku masih sendiri-sendiri menikmati peluk cium anak orang yang kujemput-hantar saban hari.
Wednesday, June 15, 2016
Draf-Draf Kumal Yang Kulempar Tepi Sampai Luput
Ironi bukan? Bebas, tapi terikat. Paradoks tertinggi.
Lepas sedikit beban di bahu, udara alam terasa sedikit lapang di helaku.
Kerana selama ini aku menggunakan komputer riba adikku untuk kerja-kerja menterjemah, aku ingin membersihkan kesan-kesan aku di komputernya lalu membawa aku kepada episod nyah-buang fail-fail yang tidak berguna lagi dan mengalihkan fail-fail yang masih aku mahu gunakan ke cakera mudah alih aku.
Yang kemudiannya membawa aku kepada draf tulisan separuh jalan aku.
Hahahaha.
Tinggi cita-citamu, sayang. Banyak yang aku impikan untuk hantarkan ke medan pengadilan. Tapi tergantung separuh jalan kerana kekangan tanggungjawab lain. Begitu.
Aku membaca semula setiap satunya, helai-helai elektronik yang mengejek aku.
Seperti terdengar teriakan aksara, mengapa aku ditinggal begini? Apa aku tiada punya makna di matamu?
Merepek. Kau bukan zat hidup. Kau mana mungkin bisa mengejek aku.
Aku takkan biarkan kau mengejek aku.
Aku akan cuba lagi.
Prakarsa aku takkan terhenti di sini.
Titik mula, kau ada di vakum-vakum tak ternoda. Aku akan tangkap dikau dan sangkarkan di loteng paling tinggi.
Sekarang.
Terbunuh Berkali
Sebuah lorek cinta yang aku kambus dalam-dalam
Biar mati,
Aku.
Hapus tak ketemu
Kubakar lukisan-lukisan senyuman miringmu
Abunya
Ku serakkan di batu gelap pada malam tak berbulan
Lesap
Kedap
Biar kisah kita tak pernah hinggap
Di sejagat fenomena kita
Tak sengaja aku bertepuk tangan usai membuang serpih-serpih serbuk patah hati
Memang begini, setiap kali
Aku temukan kematian cinta
Di celah-celah diari
Kesangsian semesta terhadap setianya aku-
Bahkan kau tak pernah tahu,
Yang mana jika engkau sekali saja, sedikit menoleh ke mari-
Akan ku kumpul setiap zarah abu yang kulemparkan tadi
Dan ku kait menjadi kisah polemik hati paling sunyi
Terpaling baldu,
Kerana bahannya pernah terbakar dulu.
Ahahahaha
Aku memang keturunan kucing
Punya sembilan nyawa yang memicing
Mati berkali bukan ketakutanku.
Cinta!
Bunuhlah aku sekali lagi!
Tuesday, June 14, 2016
Kemilau Ketenangan Di Kesunyian Gerabak Lain
Gelap bergemintang itu;
Hati aku selalu merusuh
Kenapa dia terpisah gerabak dariku.
Aku ingin merenung hamparan galaksi
Dan berbual dengannya sehingga pagi
Melakar listrik di kaki langit
Dengan tawa-tawa imaginasi.
Gelap berbulan kini;
Rusuhan hati semakin padam
Tiba-tiba minda menggumam-
Aku bersyukur tak segerabak denganmu
Di padang kelam.
Bahkan engkau takkan menyenangi
Lagi pula mahu menyendiri
Aku pula bakal mengisi
Keluk-keluk malammu, dengan omelan tiada henti;
Sedang engkau melirik dari hujung mata,
Meminta suaraku mati.
Kadang inginku membuatku lupa-
Betapa kau dan aku selalu serupa,
Biar jarak berdepa-depa,
Lontarkan hampa!
Aku dan kau malahan bahagia-
Di hangat pelukan kesendirian yang tenang.
Wednesday, June 8, 2016
Lapang Keliru
Telah sampai waktu
Yang tak seharusnya
Antara kantuk dan lena
Lapang dan jaga
Isi dan tiada
Sungguh
Caca dan marba
Keputusan di tangan kau
Sedang langit melorek warna-warna cantik-
Antara subuh dan ke tempat kerja,
Antara asa dan mimpi tersisa.
Monday, June 6, 2016
Omelan Awal Ramadhan, 2016
Alhamdulillah, doaku disambut Tuhan.
Pinta ditemukan lagi dengan Ramadhan tahun ini.
Tahun-tahun sudah, aku tak pernah mengalami sepenuh Ramadhan di rumah bersama keluarga tersayang. Kalau ada pun, beberapa hari cuma. Dan tak pernah menyambut Awal Ramadhan di rumah.
Enam tahun aku begitu, di rantau orang, tanpa keluarga, tanpa Bazaar Ramadhan, tanpa cinta (tapi cinta Tuhan selalu ada, #tarbiyahsentap #kenapakaumelankolia)
Jadi tahun ini, di luar jangkaan aku, aku berpeluang menyambut Awal Ramadhan (dan seluruh Ramadhan! yay!) di rumah, sementelah aku belum lagi menerima surat panggilan bekerja dari pihak SPA mahupun KKM. Lebih enam bulan menunggu pun tak apalah. Sekurang-kurangnya tahun ini sudah tentu-tentu kalau tak ada aral melintang, aku akan beraya di Benut dengan atok dan nenek. Okay kisah raya kita simpan dulu.
Bulan Islam kan bermula waktu maghrib.
Maghrib semalam, aku berhasrat ke Big Bad Wolf di The Mines. Supposed to be, aku nak ke terawih, tapi I changed my mind lepas ummi cakap dia penat baru balik dari Johor seusai majlis pakcik aku. So aku pun pergilah dengan Nadia, maghrib di sana. Lepas maghrib kitorang pun menuju ke tingkat 4 iaitu pintu masuk MIECC yang kami kunjungi 6 bulan lepas. Ternganga kami berdua tengok pintu tu kena lock. Nadia pun terus google apehal, baru dapat berita kena masuk ikut pintu masuk Mines 2 kat luar, lepastu kalau tak ada box tak boleh beli buku. Means tak boleh beli single books macamtu. Terus kami (yang memang dah ada kat kedai buku Chapter One Mines) berubah fikiran, takkan dalam gelap-gelap malam-malam begitu nak keluar semula, dah la aku tak bajet pun nak beli buku sebanyak tu, siapa nak angkutkan kotak? Haha. Aku sempat grab buku Kepalaku Kantor Paling Sibuk Di Dunia by Aan Mansyur. Bagus juga koleksi buku FIXI dan buku-buku produksi alternatif kat Chapter One tu, walaupun dia lakukan noob mistake dengan mengkategorikan all the alternative books under "FIXI Novels". Aku ternganga kat situ sekali lagi dan tertawa kecil tapi aku malas nak betulkan sebab aku nampak assistant kedai tu macam mengantuk, entah berapa kali dia menguap.
Lepas bayar, aku dan Nadia ke UNIQLO sebab Nadia 'saja nak tengok-tengok'. Katanya UNIQLO kat Mines barangnya berharga jauh lebih murah daripada UNIQLO outlet di tempat lain. Taktahu lah kenapa. Tapi ya! Baju rayon jelita yang aku duk usha kat KLCC bulan lepas harganya RM20 lebih murah. Aku daripada berniat murni nak berjimat di bulan Romadhon pastu konon nak sekolahkan Nadia sebab tiap bulan kau kata duit tak cukup tapi jeans kau beli kat UNIQLO, akhirnya terjebak sama. Aku terbeli (ter tu penting okay. Supaya tak rasa bersalah sangat hehew) baju 'kebaya' Hana Tajima yang berharga RM69. Bila sampai rumah aku nampak baju tu macam trenchcoat pula. Kau ingat kau hipster macam Fazleena Hishamuddin kah? Nanti aku test drive bila keluar berbuka puasa dengan Dr Shezu.
Selesai menangis kepiluan dalam kalbu setelah melihat baki poket, aku dan Nadia nak pergi makan. Lepas pusing-pusing dan menyumpah harga buffet Seoul Garden sambil mengimpikan aku seorang senior citizen yang layak mendapat harga rendah, kitorang sampai kat Kenny Rogers Roasters dan makan dengan tenang di tepi sungai buatan kat tengah-tengah Mines itu. Aku feeling-feeling baca buku puisi Aan Mansyur sambil menunggu makanan kat tepi sungai sendu tu sambil konon-konon tengok bot Mines Cruise yang dulunya harga RM2 tapi lepas GST naik ke RM5 dengan perasaan kesal dan menyampah, sehinggalah dikejutkan dengan kehadiran muffin vanila kerana muffin coklat tinggal satu je pastu adik aku Nadia nak, aku sebagai kakak mithali haruslah mengalah dengan hati yang panas. Tiba masa aku nak bayar, tiba-tiba adik cashier yang aku taktahu jantinanya itu mengunjukkan buku voucher dengan promosi yang berbagai, sempena bulan puasa katanya. Aku dah teruja, kemudian bayangkan belanja kawan makan sini saja instead of the mahal gila Seoul Garden itu, kemudian bila aku nak ambil dia tarik, katanya, "RM25 kak. Tapi berbaloi!" Heck, siapa kau untuk menentukan benda tu berbaloi atau tidak di mata aku. Dengan keyakinan aku takkan habiskan tiap malam makan Kenny Rogers, aku menolak dengan wajah muram. Bye adik, semoga kau ketemu hidayah di bulan puasa yang berkah ini.
Bila aku nak pulang, aku suruh Nadia telefon ummi tanya adakah dia akan ambil kami dari KTM station atau bagaimana. Tengok-tengok ada mesej kata, balik dengan teksi, ummi dan semua ke surau berterawih, tak ada orang kat rumah. Apakah?! Tadi siang katanya tak mahu pergi. Galau hati aku terlepas terawih malam pertama. Itulah, orang malam pertama terawih kat rumah ke apa, siapa suruh kau pergi berfoya-foya. Tapi bila kami sampai, terawih dah pun habis, so ummi pun datang juga jemput walaupun waktu tu dah pukul 10 malam.
Pagi 1 Ramadhan, aku terjaga pukul 4. Ummi baru goreng separuh paket nuggets pastu Ayu tengah terkial-kial nak mengupas bawang putih tanpa pisau. Kenapalah liat sangat kau nak belajar kupas bawang?! Kemahiran hidup kot. Aku terus setelkan kupas semua dan goreng nuggets yang berbaki. Hidangan sahur pagi ni, nasi putih berlaukkan nuggets ayam dan sup kobis dengan sedikit sotong. Aku suka bagaimana walau se-rush mana pun sahur kat rumah, mesti ada hidangan sup. Sebenarnya tak lambat pun nak buat sup. Aku je selalu lambat bangun masa kat India dulu hihi pastu panaskan briyani yang aku order malam semalamnya. Sambil berdesing-desing tumis bawang tu tiba-tiba aku rasa nak nangis sampai kena masuk bilik kejap sebab jiwa disergap suatu syahdu yang tahun ni aku akan berpuasa full di rumah.
Habis makan, dah masuk waktu, siap kemas meja apa semua, semua orang pun solat Subuh dan meneruskan aktiviti masing-masing (aku sambung tidur 2 jam sebab malam tadi tidur 3 jam je ya Allah di mana berkatmu.) Ummi pagi-pagi dah pergi tadarus kat surau sampai pukul 11 pagi. Esok bila aku kembali ke tadika, kami pun inshaAllah akan bertadarus waktu budak nap petang. Ah! Tazzabar sis nak mengecap keindahan Ramadhan dan kenapa aku rasa geli dengan ayat ini.
Matlamat aku Ramadhan ini, ialah menjadi lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan sebelumnya. Aku rasa Ramadhan paling baik aku adalah dua tahun lepas, masa tu aku tengah final exam MBBS. Feeling dia masa sujud minta nak pass tu, minta ampun atas dosa-dosa aku yang menimbun tu lain macam, tadarus pun alhamdulillah mantop masa tu. ODOJ lah apa. Aku rindu. Tapi aku rasa sejak aku masuk intern year sampailah sekarang iman makin kurang mantap ke macamana. Mungkin Ramadhan kali ini boleh menggilap semula jiwa. Semoga saja, semoga. Ameen Ya Robbal 'Alamin.
Ya Allah, terima kasih sebab temukan aku dengan Ramadhan lagi, biar sekalian palit dan pahit di peri aku ini, bersih habis disental-cuci.
Salam Ramadhan 1437H.
Kejap lagi mesti ada yang memanggil nak start masak. Dapur, Keon datang. Syukur keluarga bukan jenis ke Bazaar Ramadhan pun, makan berbuka macam biasa-biasa je plus kurma. Tapi mungkin ada episod pujuk ayah ke bazar sebab teringin tepung pelita.
Okay Assalamualaykum.
Friday, June 3, 2016
Tapai Atok
"Iyelah."
Kawasan Rumah Murah,
Benut, Pontian, Johor.
Thursday, June 2, 2016
Di Pelukan Jingga
Di hamparan jingga aku ingin bercerita
Tentang betah
Tentang antah
Tentang segala resah tertumpah
Tentang rindu yang memecah
Tentang gemawan yang mengarah
Salju, bayu
Aku ingin menjemput engkau, menjadi tamu
Dengarkan terus tanpa jemu
Bila aku tersedar kau lama diam, aku tertunduk malu
Maaf
Aku bicara terlalu laju
Di atas keseiringan jingga yang mendakap segala rasa dan prosa kita menjadi gulungan benang-benang suasa,
Tergumpal kulum tak bertemu titik mula
Aku rela,
Kerana aku tak mahu mengingat detik mula kau, dan aku
Segala rasa yang memerah aku biar hanyut
Sampai masa nanti dia surut,
Kau akan ternampakkan aku,
Mencampakkannya semula dalam kelam kelibut ke dasar berpasir samudera.
Titik mula kalau ditilik terlalu
Bahkan titik akhir akan mula tersorot
Aku, setingginya takut
Bimbang kusut
Tanpa kau, aku, bagai saraf yang herot
Menyentuh memori-memori rasa
Tanpa sedikit kebah di asa
Biarkan
Biarkan bertapa kita, dalam jingga.
Sang Kasih dan Sang Sayang
Dipijar mentari, teguh
Sepasang sayap Kasih, dan Sayang
Menerbang diri harungi jurang