Tarikh 9 Mei tak pernah memaknakan apa-apa dalam diari kehidupan seorang aku.
Tapi tarikh itu tahun ini, iaitu tarikh semalam, telah mengejutkan suatu daya fikir yang telah lama longlai tak dijumpai, apatah pula diguna pakai.
Tarikh 9 Mei, seorang aku yang tidak mempunyai kenderaan (aku baru saja mengalami kemalangan minggu lalu,) bertekad untuk menggunakan khidmat Uber setelah hari yang amat melelahkan di tempat kerja, untuk mengambil pula tren komuter di Stesen Taman Wahyu, untuk pulang ke rumah. Esoknya (hari ini), aku akan bekerja syif malam.
Orang bilang, hospital itu tempat penyelamat. Hospital itu rumah yang paling punya jiwa, dan tempat di mana doa-doa paling tulus diterbangkan ke udara. Para penyelamat, adalah pasukan yang terdiri dari barisan doktor, jururawat, pembantu makmal, pembantu perubatan, pembersih-pembersih kawasan, dan lain-lain yang mungkin, otak lelahku ini lupa menyebut. Tapi,
Tiada yang mempersoalkan, adakah terselamat jiwa-jiwa sang penyelamat?
Sudah tentu jawapannya, lima puluh peratus ya, lima puluh peratus tidak.
Kebanyakannya tergantung di kawasan kelabu. Berguntaian dengan irama tak endah dan sekadar menghabiskan kerja, sekadar melepas batuk di tangga, bila akan pulang dan habis kes-kes ini dan eh, ada pesakit mengucapkan terima kasih. Arena kelabu yang tersisip rapi di bawah pangkat dan nama. Terusir terus diselaputi senyum-senyum yang kadang kala ikhlas, kadang kala palsu, kadang kala kelat menahan malu.
Tanggal 9 Mei 2017, setelah aku habis syif pagi yang aku habisi 10 jam bertapa di dalam dewan bedah, menghabisi kes-kes Caesarean yang tak berpenghujung lagi bertali arus, sambil talinya terbelit di tenggorokan rakan kerjaku yang datang ke syif malamnya disambut 5 kes baharu yang berbaki. Marah benar dia padaku. Katanya aku Jonah terlampau. (Jonah: (dalam slang bahasa hospital Malaysia terkini): bernasib malang) Aku terpaksa pergi meninggalkannya kerana aku juga punya hal yang perlu aku selesaikan sebelum pulang. Aku terpaksa membayar wang ganti kepada dewan bersalin kerana kecuaianku dalam mengira alatan delivery set kelmarin, sebilah gunting hilang walaupun setelah aku kira, cukup sepuluh alatan. Namun kerana tiada saksi semasa aku mengira, maka kiraan aku tak boleh diguna pakai. Terpaksalah aku bergegas setelah syif aku habis untuk membayar di dewan bersalin.
Aturcara 1: Aku memesan pemandu Uber untuk ke Taman Wahyu.
Ini kali pertama aku memesan khidmat Uber. Aku pernah cuba memesannya tahun lalu, namun waktu itu khidmat Uber cuma boleh dibayar menggunakan kad kredit. Sekarang, sudah menerima tunai. Setelah aku pesan, katanya dalam masa 7 minit pemanduku akan sampai. Sudah! Mana sempat nak bersiap! Mencicit aku pulang ke kuarters mengambil barang-barang untuk dibawa pulang. Telefon pintarku menunjukkan persentej 5 peratus bateri. Aku gapai powerbank dan bergegas ke kereta. Sambil meminta maaf, aku sambungkan wayar kepada telefon. Tiada bunyi tanda telefon dicas. Aku kerling skrin powerbank: 0%. Tak lama kemudian, telefonku pun mati.
Baiklah.
Aku tarik nafas dalam-dalam dan mengeluh. Ada susu Dutchlady yang aku beli sebentar tadi di Hospimart. Aku cucukkan straw seolah marah dan minum sekali sedut. Ada ketul-ketul susu basi yang masuk ke dalam mulutku, Aku telan, dan aku letakkan semula susu ke dalam plastik. Tak elok buat-buat muntah dalam kereta orang. Bau susu basi melekat di jemari tangan kananku. Aku tahan.
Pemanduku namanya Encik RONA, entah nama betul atau nama samaran. Banyak betul soalannya. Tanya aku kerja apa, jabatan mana, pakai telefon jenama apa, kenapa tidak pakai saja iPhone dan berceloteh soal pegawai kerajaan menadah kole di hadapan TV setiap kali bulan 10 menunggu bonus dari kerajaan. Sempat pula dia memberi nasihat untuk meletakkan gear di L kalau memandu kala banjir. Katanya kalau letakkan di gear D, ekzos akan menyedut air masuk ke dalam enjin, Entah benar atau bukan, aku iyakan saja. Aku bukannya mahir perihal kereta. Sampai di stesen KTM, tambang aku rm7. Aku hulurkan rm10 dan memintanya menyimpan saja baki. Dia tetap berkeras memulangkan rm3 aku dan berkata, "gaji masuk lambat lagi." Aku tergelak kecil dan ucapkan terima kasih.
Aturcara 2: mengambil tren komuter ke stesen Bangi.
Kad Touch and Go aku tertinggal di rumah. Aku pergi ke kaunter, dan membeli tiket ke Bangi. Tambangnya rm6.80. Aku dihulurkan token, seperti rupa token LRT rapidKL. Eh? Ujarku tak sengaja. Abang kaunter tersenyum saja, entah apa yang difikirkannya. Wah, sudah lama benar aku tak naik KTM. Tiket berganti token pun aku tidak tahu. Laju aku menuju platform satu, kata abang kaunter untuk ke Bangi tak perlu bertukar tren. Lega hati rasanya.
Aku korek beg tanganku yang serupa poket Doraemon, macam-macam ada di dalamnya. Ah! Ada Kindle aku yang entah berapa lama tak kusentuh. Ada bateri 2%. Sempat aku baca satu bab dari buku Markus Zusak, The Book Thief, sebelum habis pula baterinya. Tempat dudukku di dalam tren bersebelahan dengan cermin kabut yang tak nampak ke luar. Aku bergantung saja pada pengumuman stesen dalam tren. Rasanya aku tertidur dari stesen Kampung Baru, terjaga sebentar di Midvalley, dan tertidur lagi sebelum terjaga semula di Serdang ekoran bunyi bersin orang di belakangku. Kemudian aku cuma tidur-tidur ayam saja sampailah ke Bangi.
Sampai di stesen Bangi, aku meminta izin pada makcik kedai makan di situ untuk menumpang palam untuk mengecas telefonku. Aku pasangkan sekadar untuk menelefon ummi, dan aku cabutkan saja. Aku pesan mi goreng pedas dari makcik kedai, dan air mineral sekadar untuk membasuh rasa susu basi di tekakku yang memualkan.
Di sebelah kedai makan, ada kedai membaiki kasut. Ada beberapa mesin dengan besi berupa kaki di pinggir kedai itu. Aku perhatikan saja, tak tahu fungsinya. Aku perhatikan juga pakcik tukang kasut menjahit tapak kasut Nike warna ungu, penuh hati-hati. Jarumnya besar, dan lebar. Betullah sesuai dengan kasut, takkan mahu pakai jarum yang aku gunakan di hospital buat menjahit kulit pula.
Setelah ummi sampai, aku masuk ke kereta untuk pulang ke rumah.
Dan hari itu aku rasa sungguh manusiawi, tanpa terikat jerutan teknologi.