Selamat sore, Tuhanku yang senantiasa Ada.
Terasa sungguh lama aku tak mengadu padaMu. Aku acapkali lupa. Alpa bila kurasakan ada orang-orang di kelilingku untuk memandangku, menambat hatiku dan mendengar cukup keluh dan sedih-sedihku. Sampailah kepada waktu ini yang kurasakan tiada dan sudah pergi segalanya itu, barulah merintih-rintih menuntun hati padaMu. Mungkin Engkau jugalah yang sengaja menghilangkan semuanya yang menjadi kesayanganku, agar aku jadi sedar mereka semuanya makhluk yang fana. Hubungan aku dengan mereka, takkan sampai ke pawana syurga andai tak ditautkan cintaMu bersama. Maka dalam kesayuanku yang teramat sungguh, aku menuliskan coretan raga ini padaMu.
Tersangat letih serasanya jiwa ini, Tuhanku.
Tersangat lelah jiwaku serasanya. Sebetulnya tempoh senggang antara menghabisi pengajianku dan memulai waktu latihan tabibku, aku mahu isikan dengan rehat dan rawat diriku sepuasnya. Tapi, apatah daya, rasa ingin menebus harga diri lebih kuat bergema. Aku ini kelahiran sulungnya kedua orang tua, sekian lama tak menyusahkan orang tua kerana mendapat pinjaman buat sambung belajar dan menyara diri. Terasa amat canggung aku berlama-lama di rumah tanpa menyumbang apa-apanya pada yang tercinta. Jadi aku mencari pekerjaan apa pun yang boleh sekurang-kurangnya, menampung kehendak dan kecukupan diri ini. Sedangkan pergi ke kerja pun dihantar-ambil. Betapa malunya diri yang seusia aku ini, sudah 314 minggu menapak di dunia tapi masih dimanja-manja seperti anak kecil. Sahabat yang lain banyaknya sedang mengelek anak sendiri. Kadang aku terasa orang tuaku terlupa usiaku sementelah keletahku sering saja keanak-anakan jua. Dalam keletihan aku seharian bekerja itu, barulah aku tahu, Tuhanku, Engkau sebenarnya mahu memberi ajar padaku tentang erti hidup. Aku tak pernah tahu betapa sukarnya seorang ibu yang beranak empat, melempar senyum terpaling manis sehari-hari pada pelanggan kedai tempatnya mencari rezeki dengan gajinya yang tak seberapa dapat. Rumahnya di perumahan pangsa, sering terdengar jiran sebelah menyebelah bertegang leher bergaduh soal yang sama: wang, wang, wang yang tak pernah cukup. Tidurnya anak-beranak tak pernah berkatil, beralas toto cuma dalam usianya yang menghampiri separuh seabad. Aku tak lama tersenyum pada yang datang merasa lembutnya cadar berkiraan benang tertinggi, terperangkap antara rasa hormat pada yang tua dan kelelahan diri sendiri. Kerja kedua yang masihku bertahan hingga sekarang pula, meladeni anak-anak kecil yang berbagai watak dan gaya. Sehabis mungkin aku kuatkan semua dayaku untuk menerima kerja yang ini, lebih termotivasi pada cuti-cuti hujung minggunya. Aku bukan wanita tipikal yang teruja setiap kali melihat tampangnya anak-anak kecil. Entah kenapa begitu kerasnya hatiku, meski punya adik yang seramai adanya. Tapi aku lihat ini sebagai rezeki, disulam juga rasa ingin tahu tentang ilmu apa pula lagi yang Kau sorokkan di perdunya, Tuhanku. Kerjaku sebagai orang suruhan saja, membersih kawasan, menyedia makanan sehari-hari, memandikan anak-anak dan mengganti guru yang kadangkala MC, juga menyemak bacaan anak-anak yang pulang waktu tengahari. Selang sehari mencuci kamar kecil yang tiga di tadika bersaiz rumah berkembar itu. Setiap kali aku membersih kamar kecil mereka aku seperti mahu menangis, Tuhanku, mengenang betapa baiknya diriMu memberi rasa diriku membersih semua daki angkuhku. Betapa baiknya Tuhanku, membasuh jelaga jiwaku. Betapanya! Kemudian disapa senyum anak-anak kecil baru merangkak-rangkak mahu membaca, terhilang habis semua penat dan basah keringat. Betapa sayang aku pada mereka, pada setiap mata terpejam sambil meletak tangan kecil ke dada kala melafaz zikir menunggunya masuk waktu menyembahMu. Betapa kasih aku pada mereka, pada setiap terima kasih dari bibir-bibir mungil kala aku hulurkan sarapan paginya. Aku keletihan, Tuhan, tapi di akhir harinya aku manusiawan. Sehingga mana aku bertahan dalam merendahkan diriku ini, aku serahkan padaMu segala hati dan nasibku Tuhan, segala tarikh temuduga 'hidup sebenar'ku, aku berserah sehabisnya padaMu. Terlalu penat rasanya menunggu. Harapku, di akhir sekaan keringatku Tuhan, aku terjelma jadi manusiawan yang lebih tunduk jiwanya di hamparan rahmatMu.
Di nota yang lain, tidak mungkin tidak, tidak, belum habis pengaduanku ini, Tuhanku. Kupinta seluruh hidupku, agar Kau dengarkan sekali ini.
Aku terlampau letih mendengarkan kata-kata orang yang cuba menjustifikasi usiaku yang sudah setinggi ini, dengan fakta bahawa aku masih tiada calon bakal pelengkap hidupku, yang tidak kutahu jua berapa jauh lagi layarnya ini. Baik sahabatku, rakan tempat kerjaku, makcik-makcik yang merisaukan aku malahan bondaku sendiri. Aku ini tak pandai berkawan-kawan ramai-ramai, cuba mengenal hati. Jika ada yang kusayang, itulah saja kusayang seorang, takkan terbuka hatiku pada yang selainnya selagi jiwa masih bergantung harap. Tak kenal rona-rona kelabu, cuma tahu hitam putihnya sesuatu. Dan insan yang kusayang seberapa lama itu, baru kutahu, baru-baru ini yang dia tidak berperasaan sama padaku. Terima kasih kawan, selamatkan aku daripada terus bermimpi yang tinggi-tinggi. Lantas sedari mengetahui itu, mata jiwaku terus menunduk ke tanah, belum punya daya untuk memandang lagi ke langit biru. Masa yang sama juga, bondaku menarikku dalam cubaan cuba ber hati-ke-hati denganku, terasa seperti tak kenal anaknya sendiri, tanyanya apakah aku memang tak ingin hidup berdua selamanya? Terasa sedih pula di kalbu melihatkan wajah bonda yang mengandungkan aku, merisaukan anaknya yang tua ini. Katanya adikku yang nombor tiga itu boleh saja bertemu cinta hati baru setelah sebulan putus dengan cinta lamanya. Jadi apa kisahku? Apa ada yang perlu dia tahu? Tuhan, luluh hatiku dituduh begitu. Tuhan, aku tak mampu menerangkan kisah setiaku yang berkubur mati begitu. Jodoh bukankah di tanganMu, Kekasihku, bahkan mengapa aku yang ditanya-tanya terus? Kadang aku tak faham dan mahu saja aku pura-pura tak faham, tapi bila sahabat dari zaman kecilku mengunjukkan anak kecilnya ke pangkuanku, tersayat habis juga seluruh rasaku.
Yang terakhir, Tuhanku, aku janji ini yang terakhir sebelum aku menutup mataku malam ini.
Hanya Kau tahu kesukaanku pada tulis dan baca. Dalam adik-beradikku, aku yang paling mudah dijumpai kala hilang di usia anak-anak. Pastinya aku akan ditemukan mengelek buku-buku di dalam toko buku, buku-buku yang kurangkul erat kerana ku tahu ayahku takkan dengar rayuku untuk membawanya pulang. Sampai ke usia ini, aku mendeklamasi segala rasa tinggi, cinta dan jatuh pada lembar-lembar kertas dan muka-muka yang tertaip. Baru kelmarin aku menerima jawapan dari satu penerbitan yang kuhantar karyaku, merobek hatiku dengan kritiknya yang tulus lagi lurus. Sedih jiwaku digulung-gulung, kemudian dihancur lumat ke jurang Mariana serasaku. Aku cuba melihat dari sisi terang kerana aku tahu! Aku malahan tahu, Tuhanku, yang sebenarnya Kau yang mahu menegur aku, memperlihatkan kurangku. Cumanya mungkin aku saja yang diasak sedih-sedih yang lain-lain, jadinya rentan jiwa semakin menuju ke lantainya. Semakin jatuh rasa harganya. Tapi aku redha, Tuhan. Aku mahu menjadi lebih lantang jua. Menapak lebih tinggi setangga. Semua ini untuk baiknya aku, kan, Tuhan? Betapa baiknya Tuhanku.
Di hujung minggu yang letih ini, Tuhanku, tiba pula keluarga pakcikku bersama dua orang anak kecilnya yang keletah ke rumah, bersama nenekku juga. Aku terlalu letih mahu melayan manusia. Aku mahu dihormati saja kebebasan aku berehat dan melepaskan penat. Tapi ibuku kadang-kadang terlupa padaku setelah menemui pakcikku yang lama tak ditemuinya. Adik kesayangannya. Aku sering saja keterlepasan kata gara-gara lelah menahan amarah.Aku tahu bondaku marah, Tuhan. Tak berkat tempatku berpijak di mana-mana inci bumi tanpa restunya, Tuhan. Sepulangnya pakcikku dan keluarganya semula, ibuku yang lembut hati malah memaafkan aku, tapi aku terus dirundung sedih di setiap sujudku mengenangkan pernah terlukakan hatinya kerana letihnya aku. Lantas aku mengulum tekad akan pergi jauh dari sini. Biar jauh benar, agar tak tersakiti sesiapa oleh keletihanku yang bermacam rupa. Sedihnya aku, Tuhan. Mujur aku adaMu, tempat memapan.
Tepat jam sepuluh ini, aku menyimpulkan kalimat aduku padaMu, Kesayanganku. Biar remuk seluruh ragaku. Biar hancur pandang padaku. Asal aku punyaMu. Dan rancanganMu yang tak kutahu itu, aku yakin ada sisa rahmatMu di seluas persada buana untukku.
Selamat malam Tuhanku, pada lembayungMu jua jiwaku bertemu rendang dan teduh.