Tuesday, July 24, 2018

Sebuah Julai

Apa khabar, Julai.

Aku berasa tidak tenteram bertemumu, tahun ini. Apatah pula dengan hidupku yang kurasakan berantakan. Pemergian kawan-kawanku yang beralih fasa kehidupan, dan pekerjaanku yang tidak sudah-sudah, dan kisah cintaku (sekiranya ada barang sekelumit cinta) yang tak pernah akan kesampaian. Ah, hampir saja aku terbunuh di pinggiran harimu, Julai. Gaji pertengahan bulan yang luput di pinggir mataku jua- menyesakkan. Perihal rumah? Ummi sentiasa sibuk dengan adikku berenam lainnya, seperti biasa, seperti biasa. Aku sepi dan rimas, Julai. Kau lihatlah derap kakiku yang laju dan tak bermaya. Laju dan tak bermaya, bukankah mereka tak seiring? Tapi ini benar, ini benar.

Apakah Ogos akan menyelamatkanku?

Yang cuma boleh menyelamatkanku cuma Tuhan.

Ah, kau bertahanlah dengan keluh-kisahku untuk beberapa hari dan hati lagi. Kerana serasanya senyumku begitu plastik dan mati. Tiada seruap hidup pun dalam tawaku. Tiada.

Bangunlah jiwa, di mana saja engkau berada!

Kasihan Julai, melihat bangkai bernyawa ini menadah sedih yang entah apa dalam bingkai kalendarnya.

Monday, July 16, 2018

Melepaskanmu

Hari ini, sayang,
Aku ingin membenarkanmu pulang
Pada kekasihmu yang sering kau kenang
Dengan sepenuh setiamu padanya.
Engkau memang pencinta ulung
Yang tak sengaja mencuri hatiku
Dalam persahabatan yang telah kusalah ertikan.
Pulanglah, kekasih
Semoga bahagia yang tertunda
Menjadi milik keduanya kamu
Sedang aku membenarkan jiwa melayar lautan dunia
Digauli perasaan gementar yang tak sudah-sudah
Tak ketahuan pelabuhan akhirnya di mana.

Selamat pulang, cinta, tidak ada yang tersisa dan sia-sia.
Selamat jalan, sayang, tidaklah aku ini apanya sempurna.

Semoga terjumpakan bagiku, yang senantiasa setia sepertimu jua.