Friday, November 30, 2018

Bidang 60

Sehelai tudung pemberian sahabat waktu kecilku di hari jadiku pada suatu tahun, merupakan sehelai tudung berwarna gading, saiznya bidang 60. Ingin benar dia melihat aku mengenakannya. Tapi setelah kupintal belit sehabis bolehku, aku tetap berasa tak selesa dibalut tudung sebesar itu. Lalu aku tinggalkan ia di rumah, dengan harapan beberapa tahun kemudian akan terbuka hatiku untuknya.

Beberapa tahun kemudian, aku pulang ke rumah, disambut papan seterika berbalut kain bawal berwarna gading, berbingkai batu kristal warna pelangi.

Aku masih bertudung.

Tapi bidang 60 adalah impian kita yang jauh.

Saturday, November 17, 2018

Sepi, Yang Begitu Sepi Sekali

Apakah yang begitu salah dan dikecam musnah- sebuah kesepian?
Sering difitnah, dicaci marah
Engkau yang tiada gandingan
Diejek perli sampai berantakan
Seluruh angkasa yang memandang tidak berkata apa-
Kenapa perlu begitu bingit dan rengsa?

Sepi adalah suatu indah; paradigma
Memancar cahaya dan tenang limpahan maya
Merenjis sisir air dan aroma romantis
Puitis,
Menimang tangis

Jadi sekarang
Bersediakah engkau meladeni kesepian?

Tuesday, November 6, 2018

Semula

Sepemeluk ragaku belum pernah melupakanmu, cuma tenggelam di pinggir-pinggir sibuk dan rengsa yang mengutuk.

Kau muncul semula menayangkan senyum, menawarkan kata semangat diriku memula perca baharu.

Aku buntu dilamun kenang, seriau mengenang engkau takkan pernah butuh diriku sepertimana dahulunya. Rasukan memori lama-lama mengganggu, menebas rumpun selesa setelah lama ditinggal ucap-ucap selamat pagimu.

Lebih kuat dari ini, seharusnya! Bentak jiwaku. Ingatkan hati, engkau cuma sopan, bukan merindukan.

Aku terpempan menelan maksud telah-telahanku sendiri.

Tanggal Deepavali

Ummi kata, aku lahir, pada laungan azan maghrib, tanggal Deepavali 1989.

Hari Deepavali cuti umum satu Malaysia. Selalu juga bertindihan tanggal ulang tahunku di kebanyakan tahun. Aku selalu terlepas tepungan kawan-kawan asrama, kerana waktu hari jadiku, satu sekolah cuti. Semua mengeluh, tak boleh membalas kesumat. Haha.

Bila aku sambung belajar di India, dentum dentam mercun sambutan Diwali selalu mengiringi ulang tahunku pula. Sahabatku kata ia menyambut kemenangan ke atas unsur kejahatan. Disambut mereka dengan sumbu-sumbu cahaya, dan diskaun jualan di mana-mana. Walaupun Hindu Karnataka lebih mengagungkan perayaan Dasara daripada Diwali, ia selalunya tak kurang meriah. (walaupun aku selalu menyumpah seranah dentuman yang selalu menggangguku study.)

Pendek kata, hari Deepavali walau tak kurayakan kerana berbeza pegangan, tapi hari cahayanya selalu terasa dekat denganku.

Selamat Hari Deepavali, semoga cahaya dan warna-warninya menerangi jalan-jalanmu.