Dentingan jam sebelas kali, aku menantikanmu di pangkin hadapan rumah kita. Sambil meneguk kopi pembuka mataku, aku malahan telah menelah fikirmu. Kala mata dan bahumu menghenjut memujukmu pulang, api-api di dadamu menyergah, nanti dulu, nanti dulu.
Dia belum tidur lagi.
Seolah-olah ku terlihat bebintang yang sedang kau renung, sekarang. Ekor-ekor meteor yang serumitnya matamu mengekor. Tertulis sebuah akur, menyelinap segenap pangkur.
Sebelum aku berlalu masuk ke kamar tidur, suatu helaian berendakan air mata kutitipkan di meja sisi. Sisi engkau.
Nanti akan kau jumpa baca sambil matamu terkejip-kejip;
"Aku, ingin sekali menjadi engkau;
Betah meninggali hati
Yang sehidupannya menyelimuti kepancangan kamu.
Mungkin dengan menjadi engkau;
Segala iri akan terbang pergi,
Dan aku menjadi lebih berani
Meninggali pula rumah ini
Yang diselubungi debu semalam dan daki ingatan tak bercuci.
Entah bila pula kita akan meracik gari-gari rasa sendiri dan tak mahu bangkit dari biasa-biasa menuju alam yang penuh percik api-api dan duri memagut kaki yang tak berhati-hati.
Ah, kelakarnya, meletakkan hati di hujung kaki.
Selamat ulang tahun jumpa, cinta.
Meski cintanya telah memipih entah ke mana."