Kebelakangan ini, aku selalu tidur melepasi jam 12. Walaupun esoknya aku perlu bangun jam 4.30am untuk membantu ummi masak sahur (kadang-kadang terlepas ke jam 5) dan terus bersiap ke tempat kerja.
Aku tak sempat segala yang tak sempat. Tapi aku masih sempat menaip di sini, haha!
Mimpi aku selalu berisi budak-budak tadika berlari-lari di sekeliling aku, memeluk aku, bersandar di lenganku, mencium pipi aku dan kemudian lari sambil ketawa nakal.
Semua perkara-perkara yang aku lalui tiap hari. Nampak tak betapa rutin kehidupan aku. Sampaikan waktu mimpi pun tak terfikir benda lain. Anugerah guru dedikasi seharusnya diberikan kepada Teacher Nisa diiringi gerak tangan Good, Good, Very Very Good oleh barisan anak-anak murid.
Tadi ada sahabat memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya tahun depan. Minggu lepas dia cemburu dengan aku, kerana aku selalu dikelilingi anak-anak cilik.
"Untunglah kau ramai yang sayang," katanya.
"Sayang-sayang pun anak orang weh," balas aku.
Sekarang aku tak tahu adakah putaran cemburu telah terbalik atau sebenarnya aku yang sedikit keliru kerana teman makan aiskrim aku di Davangere Darul Vavi bakal menemui sahabat baik baharu.
Dan aku masih sendiri-sendiri menikmati peluk cium anak orang yang kujemput-hantar saban hari.
No comments:
Post a Comment