Monday, May 9, 2016

Ceritera Candat Sotong, 7-8 Mei 2016

Aku mulai hariku, cermat
Aku rangkul jiwaku, ketat
Jahat
Rasa kurang, rasa tiada
Rasa entah apa-apa
Ini aku, dalam perjumpaan manusiawi
Canggung membawa diri
Kata dilantun terasa butir peluru ke hati

Tiba di Shah Alam, aku mengorak
Aku senyum, cuba menebak
Apa tari perlu digerak
Apa tanya perlu ditembak
Galak
Semua tinggi-tinggi jiwa, mahu cari pelangi di laut lepas

Jalannya panjang, waktunya lama
Gelisah aku makin tersira
Aku siapa, engkau siapa
Masih meneka-neka
Semuanya kedengaran riang
Diam-diam aku seorang
Makan berdua dengan Kak Risya
Nyah sebentar janggal tersisa
Menunggu bila tiba, lewat
Lekaslah sampai, Batu Bersurat!

Tidur tak lena dibuai-buai
Tawa berhabis, dilagu-lagu
Sentap hati rasa cemburu
Akalku menyentuh, nanti dulu
Nanti dulu!
Biar laut membasuh galaumu.

Ternampakkan arca sotong dan udang
Hati terus rasa dijulang
Benarkah Marang,
Benarkah kita?
Sudah sampai di labuh bahtera?
Biru-biru derau samudera
Aku tak lagi hirau mantera
Lekaslah lekas, aku rindumu
Pantaslah pantas, harung kelamku!

Singgah makan di kedai makcik
Terasa aneh ubun dipercik
Kedainya kecil, bangunannya tinggal
Makcik terkejut, ramainya datang
Terus pesanan terpusing hilang
Berkali-kali air tak sampai
Bertamu marah, hati tak sampai
Tenggiri dikata pari
Bayam ditelah kangkung
Apa parah akal sendiri
Lantas gusar sedikit canggung?
Bahan ketawa kau sehari-hari
Nasib kerisi kau tak gelar mambong.

Terus solat di Masjid Marang
Berkenal-kenal memecah senang
Lepas ini bot kita menyatu
Seribu rencam di laut dalam
Biar habis resah belikat
Malam ini kita mencandat!

Satu bot meriah sekali
Mula bergerak hatiku iri
Pada yang kayu, begitu klasik
Pasti alunnya terasa asyik
Bertabah saja dengan si plastik
Diranduk ombak mual dipetik
Ah! Merlik
Sotong dicari, jiwa ditarik

Mula dengan cerita Cik Man
Membuka panggung, ilmu ditebar
Tentang joran, candat dan layar
Tangsi di ikat di ibu jari
Mahirnya amat, terlopong kami
Garamnya banyak, ilmunya tinggi
Terima kasih daun keladi

Sampai ke malam sotong dicandat
Bertukar-tukar arah dan tempat
Elok dapat sotong seekor
Pergi ke depan, mahu memasyhur
Tiba habis isi perut ditabur
Haha!
Pengsan langsung ke tengah malam
Padan muka, hati kau takbur.

Satu pagi diri terjaga
Rasa diri tersapa bayu
Tangkas candat di tangga ku angkat
Dicampak tenang ke laut biru
Dua sajak mengukir lagu
Sotong menari, menguja zapin
Hati terasa peritnya makin
Laju sungguh buah tarinya
Dimakan tidak candat kita

Berbual berbasa dengan Cik Man
Katanya bukan salahnya musim
Sotongnya ada, candat tak makan
Lain kali bawa yang kecil-kecil
Dilihat sotong, besar dariku
Aku yang makankah, dia makan aku?
Tersirat padanya, aku masih mual
Katanya pula, fibreglass punya hal
Lain kali pilihlah kayu
Nescaya terang, mabuk tak mahu

Bertahan aku hingga ke pagi
Menghilang mabuk di dada langit
Bintang berkelip menawan seri
Sesekali terlihat kemilau berlari
Jika begini, hatiku girang
Biar hasil tidak bertandang
Dikelambui semesta, aku tenang
Di lain hari, pasti ku kenang

Sampai ke subuh, kembali kalah
Muntah hijau, aku menyerah
Seusai fajar bergeraklah kami
Pulang semula ke bibir jeti
Mengibar lambai ke Kapasnya sisir
Laungku padanya,
Jumpa lagi!

Kembali pula ke Masjid Marang
Membuang habis pasir bersarang
Candat kedua di pasar basah
Melihat sotong terasa mewah
Sepuluh riyal sekilo, nah
Pagi-pagi adik come, abang wi murah jah!

Sarapan ditemani bayu menggulung
Nasi dagang rasanya berbeza
Ikan tongkol selalu ku hitung
Hari ini kuhabisi semua
Putar cerita masih bertakung
Candat sana, ekornya berapa
Bagaimana ragam si tekong
Apa dikisah hasil tak seberapa?

Dilanjut pula ke Pasar Payang
Ditingkat-tingkat susunnya bayang
Membeli serupa menjulang sembah
Ampunkan patik, berapa riyal sebuah?
Sempat pula mencicip durian
Sekali berbicara, satu bas pengsan

Langsung dibawa ke Masjid Kristal
Panasnya hari rasa ditunjal
Oleh letih, mabuk semalam, dan ombak berpintal
Selamat tinggal bumi Terengganu
Memorimu kutampal, mahal

Apa dikenang tak kenal hati
Bila di hujung, tak mahu henti
Biar sahabat kekal selama
Mencandat teman, cerita diperi
Jadi ingatan zaman-berzaman
Berbahu kita menongkah lautan

Kenang-kenang ini, biar kusimpan
Sampai berkilau lagi, segala taulan.



Keon Safaai,
Masih teroleng-oleng di ombak hidup.

No comments:

Post a Comment