Kesaksian bukanlah sesuatu yang senang, remeh, atau main-main.
Bukan juga sesuatu yang sekadar di lisan, di bibir bertanam tebu manisnya kedengaran, tapi ia berbeban. Mudah, memang bukan.
Kesaksian yang terbitnya dari menerima fakta dengan jiwa, dan menyerahkan segala, atas dasar bahawasanya, kita ini datang dari Dia.
Berbuat suka hati, bukan jalan hidup, bukan tujuan, bukan jua penyelesaian.
Dan kerana kesaksian itu juga, setiap zarah di jasad ini seharusnya tergerak dan mewujudkan pembuktian, menampakkan betapa kita ini umat pencinta benar, pencinta maju, pencinta pengakhiran yang membahagiakan. Buktikan sekarang, tunjukkan, tonjolkan, nyatakan jangan kau simpan-simpan!
Dan pada menyedari hakikat pembuktian, ramai yang tersungkur dengan alasan aku takmahu hidup dalam kotak, aku belum puas bermain mainan, aku hanya insan yang lemah, dan masih terhenyak dek karat jahiliyyah.
Alasan seribu kali alasan, kau tak tahu bila kau mati dan akan bertemu hari, dimana mulut kau, berdusta sepicing pun dia tak reti. Malahan diam! Tangan kau yang berkata, aku main-main, kaki kau yang bersuara, aku terkinja-kinja, mata kau yang berteriak mengkantoikan kau ke jahannam bahawa kau suka melihat perkara tak patut. Mahu? Mahu begitu?
Sayangku,
Kotak ini luas, dan kau kerdil. Tapi kecil tak semesti lembik. Lihatlah semut, dan lebah. Alam terhampar penuh megah, lihatlah, dan carilah hikmah.
Sampai masa timer kau tamat, harapnya kau lega setelah keluar kotak garis masa. Lega kerana mendapat rahmatNya.
Ya Allah, ya Qawiyy, rahmati kami di akhir nanti, dan kuatkan jiwa kami di lembah ini.
No comments:
Post a Comment