Dari jauh, terlihat sepasang kawan bertudung kepala warna terang. Jalan melenggang, tidak ada apa yang dikejar. Bila mereka membelok ke simpang kecil itu, aku sudah tahu ke mana tuju mereka.
Bak lipas kudung aku berlari ke depan kedai kopi. Ku gendong adikku erat-erat, bersedia untuk menyua diri.
"Akka, akka." Aku halakan tangan ke mulut tanda meminta belas. Adikku dalam kendongan, mata berkaca memandang mereka. Kemudian menggaru kepala berambut kusut yang sedikit gatal. Mungkin ada kutu pada anjing yang tidur bersebelahan kami di bawah pangkin semalam.
Kulihat kakak bertudung biru laut, sedikit terangkat keningnya. "Illa," katanya, sambil terus laju-laju menapak masuk ke dalam kedai. Kakak bertudung merah jambu pula, seakan kebingungan. Aku cuba menarik sedikit kot putihnya. Mungkin dia perlu kembali ke alam nyata, daripada ekspresinya dia hilang entah ke benua mana.
Kak Merah Jambu menyeluk kocek kotnya, mencari-cari entah apa. Setelah dapat beberapa keping wang kecil, dihulurkannya kepadaku. Aku menyeringai sedikit tanda suka sambil kuhantar Kak Merah Jambu ke dalam kedai melalui ekor mataku. "Mewah," desisku dalam hati. Adikku tiba-tiba menggeliat entah kenapa, mungkin kutu anjing menggigit kepalanya. Ku gosok kepala adikku, sedikit keras kerana hampir-hampir rangka bahuku yang menggendongnya cuma dengan kain cotton yang ku temui di pinggir dumpster, terkehel sama. Aku membetulkan kain gendongan dan posisi Adik, kemudian aku duduk di pinggir jalan berhadapan dengan kedai kopi itu, menghela desah nafasku setelah seharian berjalan ke sana ke mari.
Kedai kopi Seteguk. Cuma kadang-kadang saja aku sampai ke sini. Selalunya ada saja halangan di pintu gerbang dua kolej bersebelahan kedai kopi ini. Pakcik jaga yang menjaga pintu gerbang itu, bengis yang maha. Sekiranya tertampak saja tampang aku dan baju lusuhku ini, dari hujung sana dia sudah berperi. "Pergi! Pergi!" kata pakcik itu. Sesekali bukan bahasa manusia pun yang dihingarkan kepadaku. "Psssst! Pssst! Hussssh! Haaiiiiipp!" Sama saja mungkin di inderanya, aku dengan anjing berkutu teman tidur kami semalam. Tetapi hari ini, nasibku sedikit baik. Banyak pakcik auto berlegar-legar di kawasan pintu gerbang, membuat pakcik jaga bengis itu tak keruan. Aku menyelinap di sebalik auto dan kemudian lekas-lekas lari sambil menggendong Adik di belakangku. Terlihat pakcik menghayun-hayunkan kayu yang selalu dipegangnya ke arah wajah pakcik auto yang paling hampir, berteriakan entah apa-apa. Berat Adik tak terasa, kerana ini peluang cari makan. Bahu aku sudah berbekas hasil menggalas kain gendongan, tak terasa lagi culas.
Tersedar aku dari lamunan dikocak arus bunyi deruman enjin two-wheeler. Ah, rezeki. Belum sempat penunggang two-wheeler itu mencabut kunci, aku terus bersegera mendapatkannya. "Akka, koodi akka. Koodi." Sambil aku membuat isyarat menyuakan tangan ke mulutku.
***
No comments:
Post a Comment