Wednesday, June 29, 2016

Empat Lima Enam

Kita menuju ke tamatnya garis
Ramadhan kali ini ramainya berbaris
Di jalan raya
Di butik ternama
Di gerai roti john terlaris
Apa yang kau dapat
Apa yang kau kikis
Dosa kau tepis
Duit di poket habis
Lepas raya kau bebas,
atau kau nangis?


Aku tak mahu terjebak sama
Tapi letih selalu menggila
Tuhan, selamatkanlah jiwa
Jangan biar aku teralpa
Tahun depan tak ketemu terawih
Lagi enam hari
Baru tersedar perih

Surau, di tepian gebar aku tersisih.


(Lost all sense of rhyming. Maybe meaning, too. Life's a bit hectic, kinda ironic, kau nak ajar budak erti Ramadhan tapi kau yang tersungkur di perlimbahan kesabaran. Pahala luntur, syukur ke mana. Hati bonda ayah siapa mahu jaga, jika bukan kau. Ah, bingung. Yang boleh selamatkan kau cuma yang Maha Esa, Khairunnisa.)

Saturday, June 25, 2016

Seni Mengabadikan

Seni (I): 1. halus (kecil, elok), tipis dan halus. 2. enak didengar (suara) 3. comel (bentuk badan)
Seni (II): 1. karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan 2. kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dll) yang indah-indah.
(Sumber: Kamus Dewan Edisi Ke-empat)

Seni adalah segala-gala yang ditakrifkan, dan lebih lagi.

Seni adalah makam pengabadian.

Pengabadian ingatan, kesakitan, pengalaman, citarasa, pertelingkahan, kekecewaan, idea dan harapan.

Menerusi seni (yang saya ambil dari maksud seni kedua, sebuah karya) seseorang yang lain boleh melihat segala yang mahu dikatakan oleh pengkarya, zaman berzaman. Abadi. Diwarisi, direnungi, ditilik bila terjumpakan.

Tolak tepi segala karya lagenda agung Michelangelo, Picasso dan Shakespeare.

Pernahkah engkau terjumpakan sajak yang kau karang dari zaman persekolahan, dan kau membacanya semula?

Tika mana kau tertawa mengenangkan kenaifan seorang engkau di waktu itu, kau tak sengaja menghargai. Dan sajakmu telah berjaya mencapai abadi.

Seni selalu mengelabui dengan wasap kasturi keindahan dan keasyikan.
Seni juga selalu menjerit kesakitan.
Seni juga selalu tersenyum keriangan, menjemputmu kepada ingatan-ingatan sendiri yang tiada kaitan pun dengan pengkarya tadi, apa lagi kuntuman bunga santaliya yang berbalam-balam di lukisannya.

Seni tidak pinta diingat.
Tapi sekali kau menyelaminya, ia terpahat.
Lalu ia pun menjadi abadi, dan kekal menyingkap pandangan engkau tentang kesinisan dunia.

Seni itu tabir realiti yang tidak memaksa.
Kau mahu melihat, silakan.
Kau tak betah di persinggahan, selamat jalan.
Biarkan kami abadi, dengan indah-indah wangi sendiri.

Meski dimabuk seni, orang seni tidak akan alpa.
Bahkan matanya terbuka, menelurusi perincian alur-alur kayu, dan riak-riak air,
Yang kocaknya sama seperti ketar kakinya kala gadis itu mampir.

Selamatlah dikau, menuju pengabadian.
Di setiap titis perasaan dan warna di perlimbahan;
Kau temui indah, dan coretan
yang tidak henti-hentinya berjalan sepanjang zaman.




Hari-hari Kita Makan Taugeh dan Tauhu

Hari-hari kita makan taugeh dan tauhu
Juga tempe, tapi bukan budu
Menu-menu yang selalu-selalu
Ayah suka, yang lain mengadu

Kembali ini, kembali ini
Bila mahu berjumpa sawi
Kailan juga lama dirindui
Apa khabar agaknya tangkai brokoli

Ini sahaja yang aku mampu
Malahan habis sekelianmu sapu
Tidak bersisa walau sesudu
Mengomel apa pun kan temu buntu

Hari ini ummi tak ke pasar
Tiada peluang mahu menyasar
Jika dibiarkan orang lelaki
Balik-balik selera sendiri

Tekak anak menawar mati.

Ingat kembali,
Adakah secebis syukur di nurani? ;)

Makanlah taugeh dan tauhu setiap hari.

(Kami anak-beranak masih tak berpuas hati. Haha. Astaghfirullah syukur masih ada hidangan tersaji.)

Friday, June 24, 2016

Bronchitis

Aku begitu gusar mendengar desah nafasmu yang menderu. Letupan-letupan di hujung corong itu ku tala bimbang, satu persatu. Ku rangkul ia dengan cefuroxime axetil, lantas ia kembali mungil. Arakian, satu minggu pendakapanmu. Di kehilangan sononya, ku tempiaskan alunan mesra- Lega, Meski kau benci, menenggoroki Izrail kuman nafasmu sendiri.

Sempit

"Sempit itu kan mesra."

Jika kau berada dalam kelompok yang kau akrabi.

Jika tidak-
Sempit itu perit.

"Cubalah belajar beramah-mesra."

Oh, jika kau tahu kesusahannya sebuah ramah di segenapku.

Bolehkah engkau beramah dahulu? Nescaya aku akan membalas dengan senyuman palsu- yang mungkin saja disambar ikhlas bila ku dapati engkau benar-benar menyenangkan.



Diam dengan orang yang pernah kau akrabi juga sesuatu yang perit.
Jangan saja kita.
Jangan.
Terlalu rapuhku.
Terlalu.

Diintai Yang Adakah-Adakah

Pagi ini aku direnggut lagi
Oleh adakah-adakah yang tak tahu sepi
Membingit di hari
Menggisi di hati

Adakah pertama menggegas lengan
Adakah bonda betah di penghidupan
Bakteria jahat mengganggu kepalanya
Kerengga tenat menghurung jasadnya

Adakah kedua mengikat belikat
Perlu di sini atau lekas berangkat
Ada anak kecil menunggu guru
Ada pula suka ku tak bertamu

Adakah ketiga merejam kaki
Ujian memandu dua bulan lagi
Salah kedemaman atau kerinduan
Hendak ke kerja merayu dihantarkan

Adakah keempat menikam kalbu
Apa tersasul peluru kataku
Jika bertingkah, maaf-maafkan
Kadang bicaraku memang kurang siuman

Segala adakah, memaku telapak
Dan tangan terkulai menopang doa
Pinta ku lancar, pinta ku saksi
Bangkit bermandi air berani
Selimut masa depan ku layang ke langit
Percaya aku, ia pasti terbang sendiri
Bukan talinya di hujung kudung jemari

Aku menggulung gebar Adakah, dan mematikan penghawa dingin yang serba risau

Aku yakin di setiap jeda dan ketelangkupan-
Aku ada Kau.

Wednesday, June 22, 2016

Langkauan Patut

Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Engkau

Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Terpukau

Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Melilau

Kenapa kenapa kenapa kenapa kenapa
Kenapa
Kuratapkan sampai sasau

Berhentilah bertanya kenapa.
Hati hiba bertimpa.
Lagi kau tanya kenapa,
Lagi kau tak patut bertanya.
Bertapa
Biar hilang rasa dan murka.

Kenapa.