Aku sudah membeli senaskhah buku nota yang paling sempurna untukku coretkan kisah-kisah sendu dan tangis kita, diri.
Helaian orennya kelihatan begitu ampuh dan mantap sekali. Kata penjualnya, amoi comel manis manja kelahiran Ipoh itu, halamannya takkan ditembusi hatta dek dakwat marker permanent sekalipun. Aku keliru apakah aku tertarik dengan fakta mungkin ia juga kalis peluru dan airmata, atau senyum bermadu amoi Ipoh mali, atau coretan kakak Emoqwin di muka hadapannya. Harganya yang lima belas ringgit itu terasa sungguh berbaloi dengan kualiti dan rupanya yang acah-acah hipster itu. Duit berganti tangan, buku kini kubeban.
Beban untuk cita-cita satu puisi, satu hari.
Tapi sehingga kini, satu hari sudah kelihatan seperti "suatu hari nanti."
Betapa pendustanya engkau, hati, bila engkau gelarkan dirimu pemuisi, tapi kata kau jauhi,
Kata kau jauhi.
Menangis mengongoi buku nota berlaman jingga di dalam dashboard kereta, siapa yang tahu?
Satu dina, satu puisi.
*dina - hari dalam bahasa Kannada