Sunday, July 24, 2016

Benci

Membencimu sebegitu sekali, adalah mukasurat terbaharu dalam log masuk kesedaranku hari ini.

Orang seringkali mencemuh pembenci. Kata mereka, benci adalah sesuatu yang hodoh, nista dan keji. Memalitkan hitam di kesucian hati. Mencontengkan arang di wajah yang bening. Benci adalah rasa yang tidak sepatutnya ada, seharusnya dijirus lekas-lekas dengan buih-buih maaf.

Maaf, buih-buih ini hasil jerangan panasnya marah. Tiada yang tercuci. Tiada yang memutih kembali.

Sebuah benciku padamu, tak pernah menyingsing.

Aku tidak mahu tahu tentangmu. Bahagiamu, sakitnya hatimu, tersiat-siatnya jiwamu. Khabarkan saja pada mereka, atau angin lalu. Aku tidak peduli.

Aku tidak mahu ada sekelumit pun kepedulian tentangmu.

Ombak masa selalu membuang cerita-cerita dulu, yang tidak lagi relevan kita tiliki hari ini, dan membangkitkan hal-hal terpendam yang sebelum ini terpandang sebelah mata cuma.

Aku berharap yang berbangkit tentangmu esok, adalah sebuah Lupa.

Agar aku tidak lagi menjadi pembenci yang dicemuh keruh. Agar aku bisa tertawa tatkala terdengarkan namamu, dan menyoal kembali dengan terpinga-pinga;

Dia itu, siapa?

Mungkin waktu itu, lebih banyak lagi kasih sayang, dan mentari jauh lebih terang.

Selagi jemari masa hari ini masih bersisa,

Aku masih tidak suka.

Aku benci.

Tuesday, July 19, 2016

Kuman dan Gajah

Kerusi menelangkupi pintu
Kekisi dilapisi baldu
Apa yang kau sembunyi
Di balik kamar berjeriji

Kerawangnya mengasyikkan
Auranya mengujakan

Terintip-intip,
Terjengket-jengket

Tertarik, bukan?
Kau selalu mahu tahu
Apa di balik titik buta

Rumah terbakar di pinggirnya, separuh nafas berteriak
Tak terpedulikan lalang.

Monday, July 18, 2016

Akhir Cerita Realiti

Menang, atas semua
Senyum berbenang duka
Lawan menyalam, tegal
Piala dijulang janggal

Kata yang tewas,
(tangis ditempik, gerimis dibidik,)
"Kau, tetap yang terbaik."

Sunday, July 17, 2016

Mata Guruh Cemburu

Gelita malam ini, berbumbungkan guruh-guruh dan kegelisahan yang ampuh-

Asaku tertangguh.

Ada lintasan kuda-kuda api di balik pintalan awan-awan hitam yang menggugah citanya,

Ada jarum-jarum gerimis mengugut titis, mengikis ubunnya,

Barangkali kita,

Teduhkan lagi cerita di balik teduhan konkrit, biar selamat berlapik ralit,

Simpan bagi esok yang menggamit.

Saturday, July 16, 2016

Sihir Aksara

Aku berteleku menyilang kaki sambil memandang kata-katamu di skrin komputer riba.

Berbalam-balam.

Aku ulang baca dan menutup mata. Setiap bait segar. Setiap patah menyihirku dalam jaga.

Lantas aku meraup wajahku yang kusam, dan menekan punat padam.

Di sini, aku masih seperti tahun lalu.

Kata-katamu, kepanjangan iklim dingin yang melayangkan pipih-pipih salji di alisku kala kemarau lama menerik.

Aku suakan pada orang lain. Kata mereka, ah, ini golongan kau juga. Mana aku faham mana yang indah?

Kenapa? Kenapa cuma aku yang dipukaukan jiwa?

Dalam katupan mataku, aku mengulang baca setiap sabda. Dan menyumpah diri,

Termakan mantera syair-syairmu yang tinggi.

Thursday, July 14, 2016

Lalu dan Lali

Aku hidup, dalam kesakitan yang dilalikan jerit tawa kegirangan.

Penantian itu seperti kapal terhanyut tak berkemudi. Nasibnya apa, akhirnya di mana. Menongkah harap di hujung tali air yang menyambungkan nyawa tanah kita ke samudera lepas, selalu membungkam jiwa dan harapan yang melangit-langit.

Aku biar.

Aku tenggelam dalam keriuhan nan diam.

Aku relakan percik-percik air menempias kejut di wajah kalbuku yang kelam.

Penantian kamu, penantian dia, penantian itu,

Malahan kan berlalu,

Tapi jiwa yang kebal akan terus-terusan menghadang resah dari menyelimut.

Sunday, July 3, 2016

Menguntum

Kereta kami mampir di teratakmu.
Enjin dimatikan. Perut kereta termuntah anak-anak kota yang rimas berjam-jam di jalanan.

Pintu dikuak, salam dihulur sambut.
Pelukan silih berpaut.

Dah balik? Ujarmu seperti setiap kali.

Akan senantiasa kami mencari erti, di setiap persinggahan dan tumpangan hati.
Rumah yang dulu sepi, kini riuh kembali.
Kemudian akan sepi lagi;

Sampai sebab-sebab yang memunculkan wajah dan senyuman beralah.

Ruang yang dikongsi-kongsi, hangat dengan nafas dan persoalan terjawab kita.

Setiap tahun, setiap Raya,

Kuntum-kuntum anyaman syukur dan hiba selalu mewangi di tepian halaman atok yang kelabu.