Membencimu sebegitu sekali, adalah mukasurat terbaharu dalam log masuk kesedaranku hari ini.
Orang seringkali mencemuh pembenci. Kata mereka, benci adalah sesuatu yang hodoh, nista dan keji. Memalitkan hitam di kesucian hati. Mencontengkan arang di wajah yang bening. Benci adalah rasa yang tidak sepatutnya ada, seharusnya dijirus lekas-lekas dengan buih-buih maaf.
Maaf, buih-buih ini hasil jerangan panasnya marah. Tiada yang tercuci. Tiada yang memutih kembali.
Sebuah benciku padamu, tak pernah menyingsing.
Aku tidak mahu tahu tentangmu. Bahagiamu, sakitnya hatimu, tersiat-siatnya jiwamu. Khabarkan saja pada mereka, atau angin lalu. Aku tidak peduli.
Aku tidak mahu ada sekelumit pun kepedulian tentangmu.
Ombak masa selalu membuang cerita-cerita dulu, yang tidak lagi relevan kita tiliki hari ini, dan membangkitkan hal-hal terpendam yang sebelum ini terpandang sebelah mata cuma.
Aku berharap yang berbangkit tentangmu esok, adalah sebuah Lupa.
Agar aku tidak lagi menjadi pembenci yang dicemuh keruh. Agar aku bisa tertawa tatkala terdengarkan namamu, dan menyoal kembali dengan terpinga-pinga;
Dia itu, siapa?
Mungkin waktu itu, lebih banyak lagi kasih sayang, dan mentari jauh lebih terang.
Selagi jemari masa hari ini masih bersisa,
Aku masih tidak suka.
Aku benci.
No comments:
Post a Comment