Friday, June 3, 2016

Tapai Atok

Aku gemar melihat atok membungkus tapai, sejak kecil lagi. Satu persatu tapai yang telah siap diperam disudukan ke dalam bekas-bekas kecil molek dari daun pisang. Cepat, tapi cermat. Bekas-bekas yang telah diisikan tapai, atok kelimkan dengan lidi. Kemudian disusun elok dalam baris-baris cantik di atas talam.

Malam ini, atok membungkus tapai ubi untuk tempahan 250 bungkus. Sambil atok membungkus, aku diam menikus. Memang kalau dengan atok, aku jarang bicara-bicara. Tapi jika ada, atok memang jenis tak pandai berbasa basi. Terus saja ditanyakan,
"Kau bila nak kerja hospital? Dah mintak?"
"Kawan atok semua dah ada cicit. Cucu sulung atok ni bila nak kahwin?"
"Kau balik ni, mintak cuti? Bos bagi?"
Sepatah-sepatah aku jawab. Kalau dengan nenek aku biasa bergurau-gurau. Kalau dengan atok...pandanglah kau tapai tu sampai siap haha.

Kadang aku tak tahu kenapa begitu gigih atok berjual tapai pada usia-usia senja begini. Umur atok sudah mencecah 80++ tahun. Urat pegalnya masih mampu memikul guni-guni ubi, nak dijadikan tapai buat tempahan orang. Ayah aku yang usianya belum 60 itu pun sudah sakit sendi sana sini.
"Ni jelah kerja atok. Kalau tak buat, orang mintak. Dari muda atok biasa meniaga. Biasa kerja kuat. Selagi ada orang nak, atok buatlah. Kalau tak ada, ye tak apa."

Sedar tak sedar dah siap atok bungkuskan tapai sedang aku ralit memerhati tangan atok. Bingkas atok bangun.

"Tidur, Sa. Dah malam. Esok kau kan nak berjalan."

Atok melangkah masuk ke dalam kamar mandi, agaknya mengambil wudhuk. Aku pandang bekas tapai, masih ada tapai ubi berbaki. Tapi aku tak boleh makan sebab aku demam. Nanti badan panas, tingkah atok bila aku meminta.

Tapai ubi atok terkenal seluruh Benut, sampai ke Ayer Baloi. Ada pelanggan atok biasa memesan banyak, dipasarkannya ke Singapura. Atok masih dengan gaya sama; merebus ubi, memeram tapai dengan ragi, serasa aku talam itu-itulah juga, besen itu-itulah juga, kawah itu-itulah juga yang dipakainya. Adik-beradik ummi yang berempat itu seorang pun tak ada yang mahu mewarisi. Dulu gedebang gedebung Cik Uda bilang nak belajar, nak komersialkan segala. Yang sudahnya, tiap kali aku bertamu di teratak atok, yang merebus, memeram, membungkus memang masih atok seorang. Berhujan selebat-lebat tidak, berpanas mentari menguak pun atok masih setia menggaul ragi (dan mungkin juga isi hati) untuk beberapa talam tapai ubi.

Melihat atok membungkus tapai, membuai aku, membawa aku ke daerah sunyi yang tenteram. Kadang diusik selapis syahdu, mengenangkan bila atok sudah tiada, siapa pula yang mengulang. Lekas-lekas aku tepis genang di mata, dan bangkit menuju ke ruang muka.

"Nisa tidur dulu Tok."
"Iyelah."

Demam segeralah kebah, tapai ubi atok aku nak jamah.
Dah lama rindu.


Rumah Atok,
Kawasan Rumah Murah,
Benut, Pontian, Johor.

Thursday, June 2, 2016

Di Pelukan Jingga

Di hamparan jingga aku ingin bercerita
Tentang betah
Tentang antah
Tentang segala resah tertumpah
Tentang rindu yang memecah
Tentang gemawan yang mengarah
Salju, bayu
Aku ingin menjemput engkau, menjadi tamu
Dengarkan terus tanpa jemu
Bila aku tersedar kau lama diam, aku tertunduk malu
Maaf
Aku bicara terlalu laju

Di atas keseiringan jingga yang mendakap segala rasa dan prosa kita menjadi gulungan benang-benang suasa,
Tergumpal kulum tak bertemu titik mula
Aku rela,
Kerana aku tak mahu mengingat detik mula kau, dan aku
Segala rasa yang memerah aku biar hanyut
Sampai masa nanti dia surut,
Kau akan ternampakkan aku,
Mencampakkannya semula dalam kelam kelibut ke dasar berpasir samudera.

Titik mula kalau ditilik terlalu
Bahkan titik akhir akan mula tersorot
Aku, setingginya takut
Bimbang kusut
Tanpa kau, aku, bagai saraf yang herot
Menyentuh memori-memori rasa
Tanpa sedikit kebah di asa

Biarkan
Biarkan bertapa kita, dalam jingga.

Sang Kasih dan Sang Sayang

Kasih sayang itu, menguat kaki
Berdiri tinggi, ampuh
Dipijar mentari, teguh
Sepasang sayap Kasih, dan Sayang
Menerbang diri harungi jurang
Biar malam, biar kabut jiwa dihantui jembalang
Biar!
Sayapnya menopang
Agamnya terjulang.

Cerainya cinta di dunia
Binasa
Yang kecil terseksa
Jiwa meronta,
Rentan justeru;
papa atau mama-
Harus dikucup peluk?

Putusnya cinta di hentian nyawa
Cintanya tersisa
Yang tertinggal, bahkan menghiba
Tapi nafas-nafas sayap kasihnya
Bertamu terus di pusara
Menghidup harum
Bersembah kuntum

Begitu ajaib sang pendeta ratu
Mengagumi Kasih, dan Sayang berteraju
Memayungi pasak-pasak hati
Yang belum dikunjung tamu;
Belikatmu menanti, 
Diapungkan sayap-sayap suci
Di suatu kenantian pateri.

Tuesday, May 31, 2016

Away.

Sebaiknya kamu mati saja, rasa
Sebaiknya kamu berkubur saja, asa
Menunggakkan kita,
Aku sudah tak kuasa.

Sedari dulu aku tak percaya
Kita akan melalui jalan, sejauh ini bekasnya kita
Tapi rupanya aku pemberat
Ladung besi bersiur ke barat
Engkau, aku kasihan engkau
Kenapa aku kau tak pernah tinggalkan
Setelah berkali kau, aku susahkan

Maafku pinta dari kau, kawan
Aku tidak tahu apa erti kita
Dari ayat sebaris dua
Terasa runtuh seluruh semesta.

Hatiku patah, semestinya
Tapi aku telah biasa
Aku malahan terpaksa biasa.

Biarkan aku pergi.
Maafkanku, sekali lagi.

(dan benarkanku kembali setelah dua hari setelah habis aku berperang emosi sendiri.)

Ah perempuan memang selalu paradoks
Dan juga ironi.
Aku benci.

Ubatnya Rajuk

Jika ditanya si anak kecil;
Apa ubatnya rajuk?
Jawabnya, lekas,
Datang, peluk dan pujuk.

Jika ditanya si dewasa rupa;
Apa ubatnya rajuk?
Jawabnya, pergi,
Jangan sesekali kau sibuk,
Jika kau soalkan lagi,
Mungkin kau laparkan amuk!

Si dewasa rupa berdiam sendiri
Dalam raganya tersisa tangis anak kecil,
Mahunya masih-
Rajuk, dipeluk pujuk.

Rama-rama Jiwa

Sepasang sayap rama-rama
Terkurung di rerusuk dia
Mengepak
Mengepak
Mencari pintu-pintu kuak
Kadang bunyinya terterpa
Jika engkau mendekat terlalu
Lekas-lekas dia berlalu
Menyembunyi rama-rama
Biar bisu

Sepasang sayap rama-rama kian baldu
Berat membatu
Tampangnya disayup bayu
Dia, ingin menjadi konkrit
Katanya, biar sayapnya terjepit
Asal saja
Asal saja diterima orang, tak perlu terkenyit

Tiba suatu tika rama-rama mengamuk
Entah apa yang merasuk
Pecahkan konkrit ini! Ini bukan dirimu
Pecahkan kebatuan ini! Ini bukan nyawamu
Rama-rama jadi raksasa
Melawan raksa
Patah rerusuk dia ditebas sesayap sasa
Dia pun runtuh
Jatuh
Terasa mati, terasa rusuh
Rama-rama! Teriaknya,
Mengapa aku kau bunuh?

Rama-rama sakti terbang tinggi, menghilai pesan
Hai insan
Engkau tak ketahuan
Engkau intan
Usah kurungkan perasaan
Usung ke mana kebatuan
Biarkan saja engkau pecah- Biarkan!
Asal engkau lebih kemanusiaan.

Dia tidak lagi menjadi batu.
Dia tidak lagi menjadi bisu.
Pandang terterpa pada pecahan rusuk itu,
Mengenang rama-rama-
Hatinya disentuh salju syahdu.

Monday, May 30, 2016

Doa Kala Asma

Di keseparuhan helaku
Ku nilai putih dan biru
Tinggi dan rendah
Jelek dan indah
Kasih dan marah
Mahu dan serakah

Ironinya kamu
Nafas hampir ketemu sudah
Baru terjebak melafaz sumpah
Insaf dan kisah
Ah
Tuhan kan Maha Suci
Kau lupa, Dia juga yang cipta benci

Masih, terselamat-selamat
Sedang ampus ini
Mengajarkan rahmat
Bila kau 'kan mengucap taubat?