Tips-tips mengarang yang baru saja aku baca tadi di blog Puan Nisah Haron, membuka mataku kepada bidang penulisan. Ya, aku sememangnya berminat dengan bidang ini, sedari sekolah rendah lagi. Tapi hasil kerjaku terhad kepada tugasan yang diberikan cikgu, karangan suka-suka yang diberikan tajuk oleh ayah, pertandingan menulis esei, dan puisi-puisi dalam lembaran buku conteng yang saban tahun aku humbankan ke dalam tong sampah. Selepas aku baca artikel itu tadi dan menganalisa tempat berpijak aku di tanah penulisan ini, kulihat kesan yang aku tinggalkan seakan-akan tiada. Kerana aku malas. Menulis bila disuruh dan menulis secara persendirian itu lain. Melihatkan pergerakan tulisan aku di blog ini pun, tak berdisiplin, sebulan cuma ada satu tak pun dua, itupun dengan gaya bahasa yang mampu menumpahkan air mata geram jika dibaca penulis hebat seperti Puan Nisah Haron tadi. (Puan Nisah terkenal dengan ketidak betahannya terhadap gaya bahasa pasar.)
Seorang penulis yang bagus perlukan disiplin. Sehari paling tidak peruntukan waktu setengah jam untuk menulis. Tak kiralah merangka idea, atau menyunting karya. Komited. Kerana tak ada karya hebat yang terhasil tanpa disiplin yang baik.
Perlu banyak membaca, banyak sumber ilham dari pembacaan, pergaulan dan pengembaraan. Tak boleh beri alasan macam-macam, kerana ini bidang profesional.
Ya aku sangatlah jauh ke belakang :'(
Tak kisahlah, tapi aku harap minat aku yang satu ini tak terkubur begitu saja di celah-celah buku teks perubatan.
Salam alayk!