sepasang tangan
sebelah menggendong anak
sebelah lagi disua ke mulutnya
dengan mata berkaca.
sepasang tangan
sebelah menghulur wang
sebelah lagi terkaku tak ketahuan
dengan senyum sedikit tak selesa, mengharap dia kan temui cara lebih baik
untuk mengisi ruang hari, mencari sesuapan.
sepasang tangan
dihala tinggi-tinggi ke kepala si perempuan pengemis
bersama setinggi-tinggi suara
kerana meminta-minta pada orang asing ini
dengan riak muka penuh cerca.
hai seisi dunia
jika adil itu terletak di tangan yang paling atas
akan masih adakah sepasang tangan
yang menadah di bawah
selain dari yang meminta rahmah Yang Maha Pemurah?