Friday, July 4, 2014

Terhalang budi

Menghadang curahnya hujan di bumi nan dahaga itu
Lebih meluluhkan, daripada kemarau panjang tanpa jeda.

Apa kerana kamu di tangga atas
Kamu fikir kamu boleh berlaku apa-apanya saja
Terketukkah di benakmu,
Yang terlantar melarat di pinggir kotamu
Memanggil rahmat, malah dibalasnya cemeti ke muka?

Sungguh, kasihannya kamu,
Kerana fikirmu,
Fikirmu, denda dan larangan
Mampu melawan Yang Memberi Kudrat dan Rahmat.

Bulan mulia ini,
Ceritera ummah menggendangkan pilu
Hari pertamanya saja menyaksikan
Palestina dibedil bertalu
China dilarang puasanya
Myanmar terus diserang 'pihak berkuasa'
Dan Malaysia
Tanah air yang kucanangkan harmoninya ini
Menghalang sedekah pada fakir di kaki limanya.

Apakah terlalu lemahnya ummah ini
Sehingga terpalu, terpukul begini

Apakah terlalu hinanya kami
Sehingga tak tersampaikan doa-doa kami di hening dini

Apakah yang bakal terjadi lagi
Dengan baki dua puluh lima hari
Ramadhanku ini?

Sungguh sesak jiwaku
Sungguh sayu seluruh ragaku
Meski punya ujian kecil di hari empat
Ingatan pada yang lebih melarat, lebih menggugat.

Ihzimhum, wansurna 'alaihim.

No comments:

Post a Comment