Saturday, March 8, 2014

Tanya sama aku, apa itu bintang?

Jika kau tanyakan padaku,
Apa itu bintang?
Nescaya akan kukhabarkan padamu
Ianya sesuatu yang terang
Berkerdipan di dada langit yang hitam

Kemudian di dalam bilik tidurmu ada cahaya berkelip-kelip dalam gelita
Kau tanyakan lagi, jadi inikah bintang?
Bukan, ujarku.
Itu cuma cahaya dari komputer ribaku cuma.

Aku heret kau ke padang rumput luas di waktu malam
Aku paksakan kau lihat ke atas
Dan pandang bintang-bintang yang bertaburan, membikin buruj-buruj yang menunjukkan jalan

Supaya kau tak keliru lagi dengan yang palsu.
Dan kau tak gentar lagi mengatakan bahawa,
Yang berkerdip,
Tak semestinya adalah bintang.

Aku tak peduli apa pun tanyamu lagi setelah ini-
Kerana aku telah menunjukkanmu bintang yang asli
Dan kau juga harus menjadi bintang yang asli
Kerana bintang yang sebenar-benarnya bintang itu,
Hanya akan indah di malam yang hitam pekat.
Bukan di kala siang ketika manusia riuh menyuarakan sorak-sorainya.

Jangan kau kata, yang hitam itu semestinya jahat.
Kadang-kadang kerana wujudnya hitam lah-
Kau kenal apa itu putih.

No comments:

Post a Comment