Monday, May 28, 2018

---

Tuhan
Bagaimana menghenti pilu?
Tuhan
Bagaimana menghenti pilu?
Tuhan,
Bagaimana menghenti pilu?

Sahabatku ada yang telah bertemuMu
Sahabatku ada yang telah bercerai dunia
Sahabatku ada yang telah kehilangan ibunya
Sahabatku ada yang memiliki beberapa istana di syurga- keguguran anaknya

Layakkah aku menangisi hati dan manusia yang tidak mengenangku, Tuhan?
Sedang hati aku pedih sekali
Sedang fikirku berputar bermacam acara
Untuk menamatkan semua ini

Itu haram Tuhan, tapi hatiku pedih sekali

Tuhan
Bagaimana memulang diriku?
Hatiku sedih sekali.

Sunday, May 27, 2018

Empat Bulan

Bila hanya aku yang menghargai
Suatu masa kita
Berbicara di dalam kereta
Sambil mataku melilau ke tebing jalan di luar
Sesekali tertawa dengan anekdot kisah kamu pada hari itu

Dan sebuah penghargaan itulah juga
Yang menghancurkan aku hari ini
Kerana kau tiada ingat
Dan kau tak akan peduli

Yang kau kenang dia, dia dan dia

Aku cuma latar tempat dan penyinggah masa
Di retak keberdirianmu
Yang tak sengaja tersampuk suatu indah
Dari dering tawa dan senyummu.

Ah betapa beratnya jiwa membenarkan kamu berfikir sendirian dan merenung kenyataan.

Aku rindu.

Monday, May 21, 2018

Ratap

Bagaimana menggirang hati yang luka?
Pasti bukan dengan gula-gula
Atau pura-pura
Senyum disaluti dusta
Bukan itu
Bukan itu

Tidak kau tahu apa kau mahu
Segenap penjuru meragut hela
Keluar dari sini, pintamu pinta
Keluar ke mana?

Sekemelutmu tak tertahankan
Seluruhnya dirimu tak terdesakkan

Namun bila ada yang bertanya,

Apakah elok gerangan tuan hamba?

Melebur bersepai sekalian jelama.

Bagaimana menggirang hati yang duka?
Kupulangkan hatiku yang remuk padaMu
Kau detikkan padaku, sabar dahulu
Jeritku dalam setiap nafas di hujung sujud
Buangkan pilu nan semestanya wujud
Tak ingin aku berpeluk lutut
Menunggu waktu yang kian luput.

Girangkan hatiku
Buangkan dukaku
Bebatkan lukaku
Tahankan tangisku.

Tuesday, May 8, 2018

Kuku

Tangan kecil tajam sekali
Bila terguris meraup pedih

Tangan kecil garang sekali
Pantang dicucuk ditampar peri
Ditarik semula, terpanting jarum
Hati peduli, sekali pelaung

Bukan sengaja ku tepis tanganmu
Segenapmu kubaluti dulu
Di hujung hari, untukmu mengerti
Nanti dulu
Nanti dulu

Jemari kecil lincah sekali, tajam melarik.

Sunday, May 6, 2018

Potong Barisan

Menanti

Di kiri dan kananmu
Kala tanganmu ligat menaipkan
Rekod-rekod pisah temu.

Segeralah, musibahku belum berakhir!

Sunday, April 22, 2018

-

Jam 6.45 petang adalah waktu untuk menilik perjalanan hidup, dan tangisinya.

Dan apalah selain ini yang mampu kulakukan untuk diri. Aku tiada kekuatan selain kata-kataku. Dan hati yang telah remuk lagi hancur ini cuba lagi perlahan-lahan mengatur kembali, masih dalam proses suai kenalnya dengan makna realiti.

Dia, tidak sepernahnya untukmu.

Dan aku, masih mengharapkan yang tak mungkin.

Setiap benang dari kewarasan aku jeratkan untuk menampung kejatuhan jiwa dan memapah segala asa yang ada, aku, tidaklah sekuatnya mana. Tidak ada kuasa, tidak ada daya. Telah aku menipu diri sendiri dan jatuh sayangku pada manusia, ah, mengapa mudah sekali begitu.

Mengapa.

Kelekatu yang cuma hayatnya semalaman mentertawakan aku yang rentan dalam kebohongan yang aku sendiri ciptakan.

Rindu, tiada makna rindu.

Melempar kata di ruang sini,

Biarkan aku sendiri dahulu.

Friday, April 20, 2018

Hapus

Dalam waktu ini
Aku ingin mengoyakkan jiwa
Sekuat-kuatnya
Sekeras-kerasnya
Hingga tercarik hancur semua
Biar ku tak kenal makna rasa

Biar aku mati dikambus asa.