Jalan-jalan yang terkosongkan,
Haluan yang tak bertujuan,
Dendam yang teredakan,
Cinta yang tak disampaikan,
Dan hubungan separuh jalan-
Semoga kita kembali fitri.
Hari-hari akhir Ramadan yang jarang ditangisi
Dimabukkan kantuk yang menyelimuti
Terjaga digoncang borborigmi
Ah, puasa sudah berakhir, hari ini
Rumah bukan tujuan tenang, tapi pelarian
Menumpangkan asa dan ego yang terambing-umbang
Sosial melintang pukang
Kawan dibilang-bilang-
Tiada yang menang
Menempik jiwa di kalbu yang pernah basah, suatu tika
Rindu sedar dan harap di hujung celaka
Perlukah parah sebelum ada
Segala laba terpinggir para-para syukur,
Dihurung alpa yang dungu
Ke mana arah tuju kereta api ini
Ke Seremban kah,
Atau ke bangkit mu
Taman Wahyu-Bangi
Remadan 14.
Ia pernah menjadi kemegahan
Disebut-sebut, lambang mewah
Ada cita-cita
Ada maruah
Di kiri kanannya anak-anak kecil melungu
Jari telunjuknya mengikut pesawat ke angkasa biru
Mahu terbang!
Mahu jadi konglomerat yang ke udara selalu
Bunyi bisingnya mengujakan
Hampir tiap yang menatap
Tak sengaja senyumnya tersingkap
Benar
Negaraku punya lapangan terbang
Tidak di bawah tempurung kami bersarang
Kini semua sawang-sawang yang bergantungan menempelak lapangan sepi
Dahulu,
Engkau begitu dan begini
Kini cuma menjadi memori
Bingit-bingitan di pinggir lebuhraya,
Suatu kenang yang terheret modenisasi.
Lapangan, aku pernah berdiri di persadamu
Lapangmu sekarang malahan kosong seperti hatiku.
Untuk apa mengejar mesra dan kasih murni
Jika jiwa masih kabut kelabu
Langit masih menaung
Laut masih bergaung
Belum habis seisi kaurenung
Untung
Mungkin cuma sepelaung
Betapa tinggi kau nyatakan sesal
Pada rintik yang kau ambalkan
Tiap cita di penghujung dangkal
Tiba di sini
Masih belum terjangkau
Hijau selalu menyambut
Dan rembang sering menyanyi
Tinggal ditiliki lagi
Zarah-zarah syukur yang terapung
Air mata tengah malam
Fikir-fikir yang terjerut
Tak dikambus bayu denting satu pagi
Hati yang semakin bungkam
Tentang sayang yang terpaut
Membunuh hembus sebelum mati
Engkau
Aku
Persada ini sepi.
Untuk NAI
Sahabat yang kurai dalam pateri hari
Di usia ini, aku telah menyaksikan begitu banyak kepergian.
Yang aku pinta, yang aku tangisi, yang aku terpinga dan yang bikin aku rasa berdosa.
Siang tadi, aku membicarakan tentang kita dengan entah siapa-siapa. Ujarku aku tak akan pergi, kerana aku sayang. Kerana aku lelah meratapi kepergian.
Tapi kau tetap pergi.
Dan aku bukan pemaaf. Lebih lagi pula, bukanlah aku peminta maaf.
Insan yang paling tidak aku maafkan adalah diriku sendiri.
Selalu, yang paling kusayang adalah yang tidak kusebut. Yang hatinya berlalu tanpa sempat kurebut.
Selamat hari jadi, sahabat suatu tika. Dan selamat pergi, sahabat setahun ini.
Setiap marahmu adalah setiap tumpahku.
Dan malam terus bersambung mengutuk aku dalam sepi.
Sedari remaja kita
Berdua-dua mendengar lagu kegemaran
Teruja dengan dakwat kilat-kilat
Aku sangka kita takkan pernah menua hingga
Kau angkatkan sebelah tangan kepadaku, meminta tunggu
Sambil keningmu terangkat risau
Menilik skrin telefon pintarmu
Meladeni segala kerjayamu
Dan waktu itu aku terpinga
Adakah aku tertinggal gerabak dewasa?