Monday, March 4, 2019

Tari Akhir

BERHENNNNNTI!

Inang-inang yang kutakuti pasti datang
Membawa gemalai, dan rusuk berkelibut.

Fasa

Sebuah tidak pasti telah membunuhku sebelumku mati.

Sebelum aku orak langkah-
Nanti, nanti dulu
Sebelum aku hilang pangkah-
Tarik, hembus nafas satu-satu
Belum terluang masa untuk kususun kata berlipat di sudut meja, ah
Belum tersirat samudera kusut bergema laung dalam dada

Yang melihat, engkau
Engkau dan engkau jua
Perjalanan fasa selalu tidak seiya dengan tempo hati
Jiwaku balada
Nafasku klaustrofobia
Meringkik lelah hampanya entah
Melarik parah di selaput resah

Engkau bilang aku cuma panik,
Panik cuma aku
Malaikat lalu mungkin kaget,
Suntikan rahmat terjatuh, ah
Tak layak aku sulamkan plastik
Segera ia terkoyak rabik
Impian kita jauh tersisa
Dunia merengsa
Selesa
Mana?
Ini bukan syurga

Materi-materi terus mengolok
Ketawa ia tersohor
Kelabu mata termahsyur, apa
Suria kau katakan kabur
This is just a phase, kawan
Kau tenang cuba-cuba lawan
Tak perlu baling pinggan cawan
Tak baloi angkara dengan pelukan

Peluk aku sepanjang malam, jangan kau tinggal
Aku tak percaya masa depan, suatu kelak itu penanggal
Usus terbarai semuanya
Separuh hati hilang asanya
Jika kau hulur tangan sekarang
Tetapkan aku, halangku terbang

Jatuh.
Lawan.
Jatuh. Lawan. Jatuh, lawan. Jatuh, lawan!

Sebuah baharu menanti di tinggian awan.
Bajuku belacu, hina di pinggiran
Tak ada yang memacu, hela dipamitkan

Pergi saja. Baru kau tahu, semua.


Runut: Tinggalkan - Giant Prayudha ft. Tulang Kata & Sharon Richard

Friday, March 1, 2019

Kasmaran

Tinting-tinting parah
Nafas berlumur sesah
Nanti dulu
Biar kukunci percaya di atas batu
Bukan di ambal ini, nanti habis
Kristal berkecai kau bilang magis

Lihat padaku, tak perlu bermuka-muka
Rencam dunia di hujung mata
Terlalu, rusuh terlalu
Berlalu, harap berlalu

Gesa-gesa tak bikin jalan pintas, terlicik tertingkas.

Renung kalimat kalbu.
Atur langkah, baldu.

Saturday, February 23, 2019

Eceran

Sukakan air, sedang air tidak pernah menyukaku kembali.

Pasir adalah /pembias/ /neutral/ /tak pendendam/
Diinjak menepi, dikaut bergenggam.
/Penyuci/ /tak narsis/ /tak tenggelam./

Amatlah aneh menyiapkan anak ke kali-kali, dibiar apung tak terpeduli.
Anak membangun mencinta air,
Tapi air mengkhianatinya sendiri.

Jalan Pulang

Puaskah berlari mengusung lelah
Tinta, wajah kemas dan susunan lidah
Hati tak mahu, aku berani
Berani, berani, berani
Takut mati

Lanjutkah akal ke langit sudah 
Setelah tiap cacing air meliuk ke kakimu
Debur, debur, biar laju
Laju air terjun membunuh resahku

Sehayat ini menggunung takutku
Biar ku mati menghitung langkah
Semesta alam meraup benci, menunjang bencana
Semasyhur kencana kuciap pelangi
Mati bukan ketakutanku lagi

Pelepas ditabrak
Pelipis menidak
Hidup biar seribu tahun lagi
Tarikan nafas serasa henti, henti, henti
Melaut nuansa mengocak peri.

Saturday, February 9, 2019

Solek

Menghurung perasaan
Satu lipatan demi satu
Bucu dan keluk diladeni telus
Benarkah kau fahami, rasamu sendiri
Gincu merah, bahagia
Alis coklat, senang disapa
Pelepuk mata yang hitam menyorok nista
Helah adunan warna di layang pipi
Aduh, begitu materi dan pateri
Melukis contengan hati

Gelisah tuntun dipamer di rak paling tinggi
Salah tebakan
Ditawanya sendiri.

Thursday, February 7, 2019

Kedu

Terkadang aku terpempan dengan betapa indahnya caraMu Tuhan, mempamer kesempatan dan wajah sebenar manusia padaku.

Syukur terima kasih. Tak terhingga untukMu. Kurasa seperti hidup semula setelah kabut di perjalanan.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.