Tuesday, November 6, 2018

Tanggal Deepavali

Ummi kata, aku lahir, pada laungan azan maghrib, tanggal Deepavali 1989.

Hari Deepavali cuti umum satu Malaysia. Selalu juga bertindihan tanggal ulang tahunku di kebanyakan tahun. Aku selalu terlepas tepungan kawan-kawan asrama, kerana waktu hari jadiku, satu sekolah cuti. Semua mengeluh, tak boleh membalas kesumat. Haha.

Bila aku sambung belajar di India, dentum dentam mercun sambutan Diwali selalu mengiringi ulang tahunku pula. Sahabatku kata ia menyambut kemenangan ke atas unsur kejahatan. Disambut mereka dengan sumbu-sumbu cahaya, dan diskaun jualan di mana-mana. Walaupun Hindu Karnataka lebih mengagungkan perayaan Dasara daripada Diwali, ia selalunya tak kurang meriah. (walaupun aku selalu menyumpah seranah dentuman yang selalu menggangguku study.)

Pendek kata, hari Deepavali walau tak kurayakan kerana berbeza pegangan, tapi hari cahayanya selalu terasa dekat denganku.

Selamat Hari Deepavali, semoga cahaya dan warna-warninya menerangi jalan-jalanmu.

Monday, October 29, 2018

Untuk Segala Yang Bernilai

Setiap wajah dan sosok keluarga
Titis-titis kopi pahit
Penghabisan penderitaan
Kek hari jadi
Senyuman kawan-kawan
Nafas yang tak bersekat
Segala kurniaan nikmat

Belum lancar luncuran syukur.

Selamat ke-29, diriku.

Saturday, October 20, 2018

Buku Adalah Kenangan dan Ingat-Ingat

Aku menelusuri rak-rak bersusun buku di MPH Publika, senja tadi.

Aku berseorangan, waktu itu. Jiwa merusuh, marahkan entah apa. Nak kata lapar, baru saja disuapkan solat Maghrib. Laju benar langkahku ke MPH. Kedai buku selalu menenangkan aku. Tajuk-tajuk dan cerita yang berbagai, seperti memeluk setiap haru dan celaru. Buntu, pergilah. Aku mahu bersantai di pinggir kata-kata.

Tapi tiba-tiba sesetengahnya, menyampuk kenangan lama. Buku Wonder, mengingatkan aku pada si fulan. Buku The Alchemist, menerbit kenang pada si fulanah yang berat benar memulangkan kepunyaanku. Dibalasnya dengan hadiah hari jadi Reclaim Your Heart, sebagai tanda pintaan maaf. Aku melalui sebaris rak genre Young Adult dan merasa ditampar-tampar kelibat dan ingat-ingat.

Aduh, benar agaknya aku sudah dewasa. Begitu banyak kenangan dan memori yang terkumpul. Mungkin aku perlu pergi ke celahan genre Self Help pula.

Wednesday, October 10, 2018

Hidup

Kujebakkan setiap langkah dengan kumat-kamit hari ini- semoga tiap derap membuang berat dan kesumat
Botol-botol cecair tawar tertib disusun di sudut sebelah sini
Kepunyaan mereka-mereka yang tak berkesempatan minum
Setiap masuk dan keluar dikira-kira
Dibanci-banci, teliti
Tanyamu, doktor sudah sarapan?
Sudah, satu minggu kemudian

Bekerja, bekerja, bekerja, menelaah, bekerja

Waktu pulang kasut girang menari.
Hati debar tidak seiring
Jumpa lagi keesokkan hari!

-8A-

Wednesday, October 3, 2018

Lepaskan

Betapa mudahnya untuk sakit hati, betapa mudahnya terlupa mensyukuri.

Aku punya 3 exams untuk dihabisi. 2 harus diulang, satu harus ditempuh. Baru saja gagal satu sebentar tadi, peluang keduanya minggu hadapan.

Hati lirih. Awan sedih. Aku menangis, tanpa sengaja.

Ada dua kawan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Yang satu, baru kematian suami, punya anak dua, usia setahun muda dariku. Dapat tawaran ke Jepun dalam bidang health admin. Yang lagi satu kawan satu sekolah, masih bujang, dalam bidang kastam di bawah kelolaan World Customs Association.

Hujan emas di negeri orang, tangis di hati siapalah tahu.

Seorang sahabat berjalan-jalan ke Kenya. Seorang lagi liburan di Hong Kong. Ada yang merencana ke Beijing akhir bulan ini.

Aku juga mahu. Begitu cemburu.

Lelah memikir perihal buku, pesakit, kerja, dunia yang tak sudah-sudah menyempit.

Teringat kata umi, kalau bersyukur, dan bikin semuanya kerana Tuhan, pasti akan berkat, dan rezeki datang dari punca yang tidak terfikir.

Umi kata dulu dia tak bermimpi pun menjejakkan kaki ke bumi England, bermain salji. Bila ayah dapat tawaran melanjutkan pengajian ke Leeds waktu itu, dia rasa tak percaya oleh rezeki.

Sebegitulah juga perancangan Tuhan selalu di luar capai akalmu.

Ummi, Nisa rindu. Moga-moga semua kekusutan ini akan akhirnya tuntas, dan kita bisa lelas.

Sunday, September 30, 2018

Pulang Sejiwa

Telekungku wangi sekali subuh ini.

Telekung travel berkain seakan nylon berwarna hijau tua itu, pemberian sahabatku kala dia berjalan2 ke Kota Bandung, selain dari t-shirt souvenir suatu masa dulu. Aku meninggalkannya di rumah, kerana aku punya lagi satu set telekung di bilik hostelku. Aku tak ingat kali terakhir aku mencucinya, tapi sudah dua minggu aku tak pulang ke rumah. Jelas sekali umi sudah mencucinya untukku dan seolah membiarkan ia menanti kepulanganku. Pagi tadi, umi mengajakku ke surau bersama adik dan ayah. Disuakan telekung hijau itu ke wajahku setelah aku terjaga, tapi aku yang cuma terlelap jam 3 pagi tak yakin aku mampu menampung diri berdiri di celahan jemaah. Umi letakkan telekung itu di sebelah aku dan pergi.

Kenapa dua minggu tak pulang ke rumah?

Aku menghukum diri sendiri. Aku masih belum menyiapkan assessment di dalam departmen ini, yang membolehkan aku keluar dan berpindah ke jabatan yang baru. Dua minggu terasa sepi sekali. Setelah dua minggu pun, tiada apa yang selesai, dan sedikit cakar lidah di Whatsapp dengan umi mentawarkan hatiku untuk pulang. Aku betul-betul jatuh ke kancah depresi. Kelmarin, aku pergi pada sahabatku yang bekerja di unit psikiatri, dan menangis padanya tentang hidup aku. Dia sabar mendengar. Sebetulnya, baru aku perasan sudah agak lama aku tak menangis. Terasa lega sungguh setelah itu.

Semalam, aku menonton teater Tanggang Derhaka dengan Kak Sarah dan Deeb. Tiba-tiba terasa rindu rumah sungguh. Walaupun kesinambungan plot amatlah lambat, (banyak penonton mengeluh tentangnya), tapi mesej itu menusuk aku. Aku tak mahu jadi derhaka, aku harap aku bukan, dan sesekali tidak akan.

Orang bilang Tuhan menerbitkan berkat dari redhanya ibu, kenapa tidak? Aku sepatutnya lebih tahu. Bersengkang mata ibu menahan sakit, biasanya berminggu2 sebelum melahirkan. Saat kelahiran, berhempas pulas pula dia, koyak ototnya, hilang darahnya untukmu. Kemudian disusukan pula, disayang-sayangnya pula dirimu. Ah, sebak pula mahu menaip. Umi tinggalkan kerjanya untuk aku, katanya tak sanggup meninggalkan anak sendiri dijaga tak sempurna walau sedetik oleh orang lain. Semakin besar semakin kuat melawan pula. Punya macam-macam idea. Boleh berdebat pula dengannya. Aku anak umi, selalu aku katakan padanya. Kalau ada yang tak puas hati, aku tidak diam seperti ayah. Aku suarakan. Mungkin kadang umi terluka, tapi dia tetap dahulukan aku. Tetap menerima aku dengan wajah senyum. Katanya akak muda lagi. Darah panas. Nanti akak tahu.

Aduhai, berkatku di kakimu, umi. Hidup berantakan seperti kini, mungkin saja aku perlu ampunan darimu.

Dan anak ini masih belum puas bermain di genangan mata uminya.

Monday, September 24, 2018

Rusuh

Letus-letus cemas
Awan pemula culas
Kau bilang mendung, salah siapa
Tak tetap lambung, derap di mana

Telapak kakinya langsung lepas ke alam nyata
Jarinya sendeng
Suaranya sumbing
Jenteranya teleng

Penghabisan, penghabisan!
Bila kan tertemukan?