Tuesday, April 21, 2015

Kagum Yang Terkulum

Mengerlip mata dipiat
Berpinar mata melihat
Sukanya orang, tuahnya orang, jayanya orang
Menderas rasa kagum menguntum
Resah pasrah tersantun muluk

"Bila pula orang melihat aku
Bersuka, bertuah, berjaya
Di pentas tinggi itu?"

(Bukan kagum yang dicari. Tapi reformasi diri, ke tingkat lebih tinggi.)

Thursday, April 2, 2015

Rakan Jiwa

Kau impianku, dan aku mimpi tertinggimu
Yang ada di sudut hati
Di balik berlapis-lapis peri
Bila kita bertemu
Hilang semua topeng
Dan terangkat segala runsing

"Kau, telah lama kutunggu," ujarmu,
"Dan kau, menghabisi seluruh waktuku, menyangkakan kau cuma angan."

Monday, March 16, 2015

Kopi

Kopi selalu kelabui kantuk
Membuat jantung rasa berketuk
Duduk tak tentu, diri meliuk
Tapi tetap jua dicari lagi esok

Kopi punya aroma menggoda
Sekali terhidu menusuk sukma
Tanpa wajahnya nyawa tiada
Membuai hati membangkitkan jiwa

Kopi kopi warnanya hitam
Lebih pekat lebih mengancam
Di pinggir cangkir kata bersulam
Membuah ceritera membuang dendam

Tanpamu kopi aku termimpi
Bilakah lagi bertamu rasa
Sehirup kopi meniup hari
Merungkai resah menyelimut selesa

Jom berkopi, barang secawan dua? ;)

Wednesday, March 11, 2015

#Pentas

Meriah sorakan di hadapannya. Beratus-ratus pasang mata ditalakan padanya. Keringat menitis dari tepian pelipis, dek terik panas sinar lampu sorot di alang atas. Senyuman sengetnya terbentuk perlahan.

"Terima kasih! Teruskan menyokong perjuangan saya dalam dunia seni!"

Tirai labuh warna biru kundang dilabuhkan, menenggelamkan bunyi dan pandangan.

"Apa yang kau fikir atas pentas tadi hah?!" Gamat semesta aku dikejutkan suara nyaring perempuan tua ini. Kak Muna, pembantu peribadiku sememangnya terkenal dengan sifatnya yang maha garang. Tapi tanpa bantuan dia, takkan ada seorang Izz di arena pentas. Aku sudah lali dengan jerkahannya. Kalau orang lain, silap hari bulan masuk hospital terkena heart attack.

“Relax lah Kak Muna! Orang media kan sukakan kejutan. Apa salahnya sekali sekala Izz buat kelainan? Asyik stunt yang sama aje, jelaklah!” Aku menempelak semula. Panas pulak hati aku ni, asyik nak marah aje! Getusku dalam hati. Aku mencapai botol air warna hijau kesayanganku, kuteguk air dingin itu hingga tinggal separuh botol. Kemudian sengaja aku hempaskan botol itu ke atas meja kopi tanda protes. Lantaklah apa Kak Muna nak kata. Yang penting, peminat suka! Wartawan tertawan! Esok pagi, mesti wajah bangga aku terpampang besar di akhbar-akhbar. “Wajah Baru Dunia Teater, Izz Malik, Menampilkan Aksi Berani Dalam Pertunjukan Teater Anak Rama.” Aku mengomel sendirian dalam angan-angan.

“Lain kali jangan buat kalau tak rehearse. Gugur jantung Kak Muna ni hah. Kalau jadi apa-apa kat Izz kan susah,” dengus Kak Muna perlahan. “Dah lah, tukar baju. Dah lewat ni. Akak tunggu dalam kereta, okay.” Kak Muna berlalu meninggalkan aku dalam bilik persalinan itu, sambil memusing-musingkan rantai kunci di jarinya, menghasilkan bunyi kerincing yang bergema. “Ada perasaan jugak rupanya. Ingatkan takde hati perut.” Aku membebel sendirian. “Apa dia? Kau ingat akak pekak ye???” jerkah Kak Muna dari jauh. Aku membalas dengan tawa kecil sambil menyisir rambut yang serabut setelah kucabut tengkolok.

Pintu bilikku diketuk tiga kali. “Ya!” Aku menyahut bersahaja sambil menyarungkan beg silangku. Diam. Sambil membuka pintu aku bertanya, “Siapa?”

Satu susuk tubuh, dalam kesuraman koridor, menyuakan sesuatu padaku. “Nah. Awak tertinggal ni atas pentas tadi.” Tak sempat aku melihat wajahnya, dia sudah berpaling dan pergi. Terpinga-pinga, aku melihat objek yang ada di tangan kananku.

Sebatang lembing berlumuran darah, dengan sehelai T-shirt hitam tertusuk di bilahnya, slogan “Teater Sudah Mati” terpampang jelas di mukanya dengan tulisan warna putih.



Thursday, March 5, 2015

Senggang Masa Ditemani Bunyi Kerincing

Suatu ruang antara malap dan tinggi
Mata berkedip, jiwa berkelip
Samar-samar bunyi kerincing menepis kantuk
Seakan melupakan alam baru yang bakal tiba sejenak tadi

Sepasang mata kuning galak merenungku.
Menoleh, seolah aku yang salah, mengganggunya.

Eh? Ini ruang siapa, kucing?

Dalam pisat-pisat mata aku tenggelam ke dalam empuk kekabu
Di besok paginya kusangkakan mimpi
Bunyi gemerincing di malam gelitanya hari.

Tuesday, February 17, 2015

Hidup Asing yang Dipilih Sendiri

Tujuh belas Februari, Dua ribu lima belas.

Malam jadi sibuk
Siang jadi naga
Beradu lelap tak terjumpakan sesiapa
Mengendong mutiara masa dan alamnya

Ini pilihanmu sejak dari mula
Ruang mengeluh sudah terkambus
Hitam pekat lohong terhapus
Tertolak-tolak dayamu membangkit diri
Menyelak tirai hari-hari di luar imaji

Kawan telah lama berlalu pergi
Menjinjit anak di bahu kiri
Memimpin tangan suaminya kini
Kau masih di pusing-pusing
Lirik lenting yang sama
Keluh gelisah yang tak ada suara
Bunyi tanya mengenai kahwin 
Seperti melihat kapal terbang makhluk asing

Inilah duniamu yang tak terbayang di waktu kecil
Saat mana kau fikir semua tayangan hidup
Cuma berisikan masa kerja pejabat
Dan disambut kopi di muka pintu di kala penat

Sudah lama orang-orangnya berdiam di sini
Kau yang masih mentah
Yang masih rindukan matahari merah
Belum biasa dengan dunia gelap sepanjang masamu 
di luar sosok bangunan putih tersergam gah

Tapi yang mengetuk jiwamu
Cumalah secebis senyum dan keterlepasan Terima kasih
Di balik sekaan keringatmu
Yang membuat semua impianmu menjadi ayat Tak mengapa
Fana tetap fana
Aku di sini mengumpul duit maya
Untuk digunakan di alam baqa

Aku rindukanmu, matahari yang merah.

(Ini untuk kamu, Siti Nur Amirah, yang tidur di siangnya dan malam berjaga, demi kelangsungan perjalanan si rumah sakit di Jabatan Casualty.)

Sunday, February 15, 2015

Spontan

Mari lakukan sesuatu yang spontan
Memecah kerutinan yang merengsakan
Terus memecut jauh dari pandangan tanpa nada

Mari lompat tinggi ke awan
Atau mencuba aiskrim durian
Bergelak ketawa sambil mengayuh sampan
Di taman rekreasi yang tak pernah kita singgahi

Mari belajar bermain bola sepak
Di tengah laman bersama kanak-kanak
Atau melagukan syair klasik
Dari buku puisi kedai terpakai

Mari lari dari biasa
Lama-lama menjadi kaku atas satu jalan yang rata
Tak ada naik, tak ada turunnya
Mari hindarkan bosan dan durja
Bangkit menjadi lebih bahagia

Kerana yang tak dirancang itu, sering mengejutkan mata gembira yang telah lama mati.