Tuesday, February 17, 2015

Hidup Asing yang Dipilih Sendiri

Tujuh belas Februari, Dua ribu lima belas.

Malam jadi sibuk
Siang jadi naga
Beradu lelap tak terjumpakan sesiapa
Mengendong mutiara masa dan alamnya

Ini pilihanmu sejak dari mula
Ruang mengeluh sudah terkambus
Hitam pekat lohong terhapus
Tertolak-tolak dayamu membangkit diri
Menyelak tirai hari-hari di luar imaji

Kawan telah lama berlalu pergi
Menjinjit anak di bahu kiri
Memimpin tangan suaminya kini
Kau masih di pusing-pusing
Lirik lenting yang sama
Keluh gelisah yang tak ada suara
Bunyi tanya mengenai kahwin 
Seperti melihat kapal terbang makhluk asing

Inilah duniamu yang tak terbayang di waktu kecil
Saat mana kau fikir semua tayangan hidup
Cuma berisikan masa kerja pejabat
Dan disambut kopi di muka pintu di kala penat

Sudah lama orang-orangnya berdiam di sini
Kau yang masih mentah
Yang masih rindukan matahari merah
Belum biasa dengan dunia gelap sepanjang masamu 
di luar sosok bangunan putih tersergam gah

Tapi yang mengetuk jiwamu
Cumalah secebis senyum dan keterlepasan Terima kasih
Di balik sekaan keringatmu
Yang membuat semua impianmu menjadi ayat Tak mengapa
Fana tetap fana
Aku di sini mengumpul duit maya
Untuk digunakan di alam baqa

Aku rindukanmu, matahari yang merah.

(Ini untuk kamu, Siti Nur Amirah, yang tidur di siangnya dan malam berjaga, demi kelangsungan perjalanan si rumah sakit di Jabatan Casualty.)

Sunday, February 15, 2015

Spontan

Mari lakukan sesuatu yang spontan
Memecah kerutinan yang merengsakan
Terus memecut jauh dari pandangan tanpa nada

Mari lompat tinggi ke awan
Atau mencuba aiskrim durian
Bergelak ketawa sambil mengayuh sampan
Di taman rekreasi yang tak pernah kita singgahi

Mari belajar bermain bola sepak
Di tengah laman bersama kanak-kanak
Atau melagukan syair klasik
Dari buku puisi kedai terpakai

Mari lari dari biasa
Lama-lama menjadi kaku atas satu jalan yang rata
Tak ada naik, tak ada turunnya
Mari hindarkan bosan dan durja
Bangkit menjadi lebih bahagia

Kerana yang tak dirancang itu, sering mengejutkan mata gembira yang telah lama mati.

Saturday, February 14, 2015

Sedekah, dan Peluang yang Terbang

Aku terlepas peluang untuk bersedekah pada seorang pakcik tua peminta sedekah ketika sedang minum jus di kedai jus petang tadi. Serasa aku, aku hanya membawa Rs.100 saja untuk minum jus. (Segelas jus berharga lebih kurang rs40 hingga rs70) Lalu aku menyangka aku tak ada wang lebih, jadi aku menyuruh saja pakcik itu pergi. Pakcik itu sangat tua, pakaiannya lusuh, tak mampu bercakap, hanya bunyi "aak, aak" saja keluar dari apertur bibirnya. Namun memikirkan yang aku tak mahu jadi tukang cuci gelas sambilan kerana tak mampu membayar harga segelas jus, aku tak periksa pun duit yang ada dan cuma meminta pakcik itu pergi. Tuan kedai jus, bila nampak situasi itu dan (agaknya, aku tak tengok ekspresi pakcik) wajah kecewanya, memberikan dua biji pisang pada pakcik itu dan memintanya untuk pergi dan jangan kembali lagi. Setelah habis segelas jus epal-strawberi dan buah bicara, aku pun mengeluarkan duit dari celah bekas telefonku. Rupa-rupanya aku bawa Rs150. Sepatutnya cukup saja untuk disedekahkan pada pakcik tadi, tapi bila aku tersedar, peluang aku telah terbang begitu saja dan takkan kembali.

Dah berkali-kali aku mengalami situasi ini, namun aku tak pernah tergerak untuk periksa dahulu. Sungguh bebal orang yang telah mengalami benda yang sama berkali-kali tapi tak pernah belajar daripada kesilapan. Tak tahu ke sedekah tu menghapuskan dosa-dosa kecil? Dan membawa berkah pada kehidupan? Padanlah kehidupan kau seringkali menyedihkan dan mengecewakan saja sejak akhir-akhir ini.

Bila tiba waktu tengah malam, dan memikirkan dosa-dosa lampau yang perlu ditaubatkan dalam sujud seterusnya, wajah dan suara pakcik tadi seolah memanggil-manggil aku. Terima kasih pakcik kerana mengingatkan saya untuk lebih ringan bersedekah selepas ini, semoga pakcik dikeluarkan daripada belenggu kefakiran dan tak payah meminta-minta lagi. Amin.




Thursday, February 12, 2015

Tiga Hari Terakhir di Jabatan Kanak-Kanak

Hari OPD terakhir dalam unit Paediatrik.

Aku akan rindu untuk mengagah anak-anak kecil bergigi susu, untuk membuatkannya rasa senang sementara stetoskopku sibuk menangkap tona nafasnya.

Aku akan rindu mengira-ngira dos ubat yang pelbagai itu, terselit sama sedikit rasa risau kalau-kalau aku tersalah kira dan terlebih atau terkurang dosnya.

Aku akan rindu senyuman bangga sang ibu bila aku khabarkan berat anaknya semakin meningkat, yang bermakna anaknya sedang membesar dengan sihat.

Ya, aku memang tak suka budak-budak yang mengada-ngada. Yang menangis tak kena tempat. Tapi aku juga suka bila anak-anak yang naif sibuk bertanya itu ini. Mengingatkan aku pada zaman itu. Semuanya kelihatan menarik untuk diambil tahu. Aku makin tak kisah dengan banyak perkara akhir-akhir ini. Jumpa budak-budak yang baik dan cerdik, aku turut terinsaf sama.

Selamat mengharungi tiga hari terakhir Paediatrik, Dr. Khairunnisa.

Berhenti Sejenak.

Terlalu lama rasanya tak mengukir sebarang lisan fikir di ruang ini.

Masih lagi dalam kesibukan yang bukan-bukan. Aku selalu terlupa tujuan asalku. Aku selalu mahukan bahagia yang kelangsungannya seketika cuma. Lupa. Lupa. Menjadi makna sebenar Insan.

Kadang-kadang meski masa kosong terlalu banyak, aku isikan dengan risau yang bukan-bukan. Risau akan perkara yang tiada ertinya dalam masa, sejam, bukan, seminit kemudian. Kemudiannya pulang, mengurus diri, mengosong minda dalam tidur tanpa mimpi dan harapan.

Ada masa, aku renung langit. Langit di sebelah sini semakin hari semakin biru, menyongsong musim dingin yang semakin hilang. Terkesima dengan rona luas dan terang tinggi itu, hati aku seolah diterangi sama. Aku sedar aku sedang lemas. Kegawatan yang aku rasa di dalam, semuanya tak penting. Tak ada rentak. Tak ada kesan. Biarkan, lemparkan. Jangan ganggu aku, pergi jauh ke sudut paling tak termahu. 

Langit kecilkan mata aku, tapi pecahkan ais beku berkelambu di ruang sebelah atas.

Dunia kecil dan sibuk yang menghimpit, cuma mata minda yang kelabu. Tirai masa nampak kelam, tapi belum bersingkap. Kau tahu dalam masa setahun lagi, kau cuma akan ketawakan diri sendiri atas kegelisahan melampau kau atas perkara remeh-temeh seperti masa sekarang ini.

Apa salahnya ketawa lebih awal, meski tersorok-sorok letusan gembiranya? Bukan kau yang kawal masa. Bukan kau yang kawal rasa. Tapi kau boleh pilih untuk kadang-kadang menjadi insan, yang berkata, ah, ini sementara. Kalau aku berjaya lupakan bosan harini, tangis malam ini, dan katakan semuanya pasti akan berlalu setelah tiba jam pagi, pasti tiba-tiba jiwa kau lebih perkasa bangkitnya.

Bangun dari keluh. Tidur dari peduli, yang itu-itu lagi.


Tuesday, December 30, 2014

Dua Ribu Lima Belas

Lagi dua hari menjelang 2015;

2015 bakal menyaksikan seorang Khairunnisa melangkah ke tahun ke-26 dalam hidupnya. Apa yang telah diperolehi di usia ini, sekadar melepasi ujian sarjana muda MBBS dan masih memiliki kedua ibu bapa, dan masih bujang, dan masih clueless tentang hidup. Masih. Terkejut juga kerana telah berjaya mempelajari cara menunggang scooter di India. Alhamdulillah. Masih taktahu cara menunggang basikal dan cara berenang.

Timeline laman-laman sosial dipenuhi gambar majlis nikah dan tunang, gambar bayi montel hasil perkongsian cinta kawan2, isu-isu pembelian rumah dan cara menyimpan susu anak yang betul di dalam freezer, juga jenama stroller yang paling canggih di pasaran. Sekali-sekala terselit iklan syarikat insurans.

Impian untuk 2015: Lebih matang, lebih berwibawa, lebih bernas dalam berkeputusan, lebih sukar jatuh cinta, lebih banyak turun berat, lebih banyak puasa sunat, dan lebih carefree dan kurang uptight.

Dan pulang for good ke Malaysia pada masa yang sepatutnya.

Selamat Datang 2015. Aku sambut dirimu dengan dada terbuka dan harapan paling tinggi agar kau lebih baik dan indah dari tahun sebelumnya. Dan sekiranya aku ditakdirkan dijemput Tuhan, aku mahu mati dalam keadaan beriman kepada Tuhanku. Amin.

Selamat ber Dua Ribu Lima Belas!

Tuesday, December 16, 2014

Reading

I was three fourth from finishing the novel Norwegian Wood by Murakami, when I suddenly got reminded of this uncle whom I met on the plane from Kuala Lumpur to Kota Kinabalu last break. I was reading Kinsella's Can You Keep A Secret? so intently cz it keeps me from having small talk with strangers on a plane. I can't switch seats with the woman besides Dayana, so I make do with the seat I got. Then the uncle asked me, "Memang suka membaca ke?" then I was like "Ah sudah," I nodded politely with a meek smile, "Haah."

"Selalu suka baca buku yang macamana?" and the conversation went on and on to topics like where did I study and he'd once studied in India too at Gujarat, but that was the 70's, and he had been to Germany also, blah blah blah and each time I answered prompt questions and nod, nod, nod politely until he finally noticed that I'm too tired to listen to his antics and waved me away, "eh takpelah, sambunglah baca, kesian awak pakcik cakap banyak."

He reminded me of my mum, who also thought that it's okay to use the book someone is reading as a conversation starter. When I told her that it's not nice and people might wanna read in peace instead of talking, she'll rebutt it with "ah orang macamtu sombong betul." Gah.

The conclusion is, when people brought books and were reading it, do not, I repeat, DO NOT IN ANY CIRCUMSTANCES DISRUPT OUR AFFAIR WITH THE BOOK. We don't wanna be impolite but, we might hate you so deeply that we were reminded of you in the midst of reading Murakami in the middle of a Tuesday afternoon.

Haha. Salam, have a nice day.