Tuesday, June 24, 2014

Di Balik Aksara

Di balik aksara, aku bersembunyi
Menitip fikir, rasa, dan entah apa lagi
Setiap dua puluh enamnya menenangkan sepi
Menjauhkan muram, menjulangkan impi.

Di balik aksara, aku bersembunyi
Dan merisik-risik aksara semesta
Kalau kusuka, ku ulang baca
Kertas yang kejap, lunyai memerca.

Di balik aksara, aku terjumpa
Kata-kata yang menerkam jiwa
Katanya orang yang berbidai aksara
Tak secantiknya dijumpa manusia.

Tapi kau juga manusia, apa bidaimu?
Muka yang gemilang, kata yang lantang
Siapa saja kau tuk mengata aku
Siapa saja pula, tak punya bidai?

Apa bidaimu, apa bidaimu
Tempat kau sembunyi segala resahmu
Salahkah aku, memilih aksara
Tempat sembunyi, tempat ku durja.


0030H
Kamar Biru Berpermaidani Pelangi

Sunday, June 22, 2014

Rentak beritmakan percikan darah kita

Jika hilang rentaknya, kita tiada
Jika hilang nadanya, kita punya separa
Separa nafas dan separa saat
Untuk berkongsi cerita dan berbuat dan berasa

Ritma itu
Mudah sekali hentinya
Percikan darah yang bagai gempita
Mengalir lesu dan terus henti
Di papan tanda Mati.

Tuesday, June 17, 2014

Lagi tiga hariku.

Burung hantu, di siang hari,
Lagikan layu, lagikan mati,
Sedang hari semakin susut,
Dan bayu semakin puput,
Semangat rapuh semakin reput,
Busa di bangku semakin kedut.

Telah berapa lamakah ku ada di senggang masa ini
Bersama hari yang kurasakan mati-
Menunggu petang yang indah itu
Menuju asalan, hatiku maju.

Biar tumbuh lambat pucuknya
Asal berakhir di tepi jendela-
Menangkap matahari sepenuh buka.

Hai bunga,
Jangan berhenti lagi manismu
Jangan kembang semua kelopakmu
Tunggu dulu
Kerana yang dinanti
Yang lebih kemudian itu
Bertambah manis kelibatnya.

Saturday, June 14, 2014

Belum sampai lagi

Belum sampai
Tak bermakna takkan sampai.
Tapi kalau kau berhenti mengayuh sampan kau yang sudah sedia lambat ini-
Sampai bila-bila pun takkan tiba.

Your choice, mate.

Nota kaki: Exam teori jumaat & sabtu depan. Exam praktikal seminggu kemudiannya, inshaAllah. Semoga dapat berkat hari jumaat. ;D dan semoga ini kali penghabisan. InshaAllah akan sampai ke tanah air dalam pertengahan bulan 7.

Doa jangan putus.

Wednesday, June 11, 2014

Bahasa

Bahasa itu seperti kereta.
Alat yang membawa kita ke tempat tujuan.
Masing-masing punya nilai estetika tersendiri.
Dan beruntunglah orang yang mahir dan fasih memandu bahasa.
Kerana bahasa pintu ilmu,
Pintu peradaban,
Pintu interaksi,
Pintu beremosi.

Dan lebih beruntunglah yang menghargai bahasanya.
Menyantuni budaya yang terseret bersama.

#basabasitengahmalam

Tuesday, June 10, 2014

Biar

Biar aku tak diingati manusia, Tuhan
Asal saja aku masih di bawah sayap ingatanMu.

Dan semua ini takkan bermakna apa-apa
Senda gurau, dan ilusi silap mata
Bila tertawa, terlupa leka
Bila terjaga, semua lenyap tak ada.

Apa mahuku
Apa jalanku
Apa suratanku
Apa akhirku

Biar denganMu ku adu
Dan biar mereka tak dengar
Hati aku mengaduh.

Sunday, June 8, 2014

Hidup

Hari yang terus-terus dipangkah
Tak punya maknawi
Tanpa berisi tingkah

Dan fikiran aku semakin terbang
Kepada masa depan yang cemerlang

Sedang hari dan saat ini
Kau tak tahu
Bila masa terhenti pacu jantungmu

Apakah kau terlihat maksud sebenar sebuah hidup
Bukan angkasa terjulang, biarkan
Bukan berakhir cemerlang, tepikan
Tapi saat ini
Ada kau pedulikan?