Kalahkan saja mindaku, kantuk
Biarkan ia terus mengetuk
Pada pintu yang terselak rusuk.
Aku tak mampu lagi
Kerana kupunya pelbagai cita
Untuk esok.
Maka biarkan ketukan bertamu sepi.
4-sesuatu
18-5-14
Kalahkan saja mindaku, kantuk
Biarkan ia terus mengetuk
Pada pintu yang terselak rusuk.
Aku tak mampu lagi
Kerana kupunya pelbagai cita
Untuk esok.
Maka biarkan ketukan bertamu sepi.
4-sesuatu
18-5-14
Sepatah dua katamu
Bahkan seribu tahun kebisuanmu pun-
Akan sentiasa bermakna
Di laman resah penuh belukar sesak ini.
Lapang terasa tanpa perlu bunyi-bunyi
Untuk mengumumkan keberadaan kamu.
0358
18-5-14
Ianya sungguh aneh, bagaimana
Himpunan lagu dan bait-bait kata
Menyerang kotak minda tatkala seterpejamnya mata
Merayu-rayu untuk didendang sepenuh jiwa
Mengekang mimpi atau ruang gelap segenap infiniti untuk mengganti,
Menggerhanakan dunia ini.
Maka pergi saja dari lenaku
Dan biarkan aku hanyut
Ke seribu kebarangkalian.
Selamat malam, dunia yang tak berhenti lariannya.
3-sesuatu
Bilik
18-5-14
Ucapan Selamat Hari Guru Tahun 2014 ini ingin saya tujukan kepada semua guru yang pernah secara langsung atau tidak langsung mendidik saya mengenai apa jua perkara. Sama ada formal atau tidak formal.
Juga jutaan terima kasih atas segala pujian, nasihat, kata-kata motivasi, hinaan yang kritis, teguran jujur, jerkahan, perlian, kasih sayang, persahabatan, dan gurauan.
Semua guru, tidak kira siapa dan bagaimana dia bertingkah laku, adalah pengajar kita tentang kehidupan, dan membentuk kita menjadi manusia yang tahu sedikit sebanyak tentang cara-cara menghadapi dunia yang mencabar.
Seorang manusia boleh belajar sendiri daripada kitab, tapi boleh saja jadi salah faham tanpa penerangan daripada seorang guru. Guru melihat kita, dari zaman berkaca mata bulat dan bertudung senget, sehingga ke zaman kaca mata yang tak mengembangkan tudung dan bertudung gaya ikan sembilang. Dari pendek ke tinggi. Dari comel ke lawa. Dari tak tahu kepada tahu. Dari tak faham kepada "man I can do this."
Terima kasih,
Terima kasih,
Dan terima kasih.
Juga kepada guru pertamaku yang mengajarku bertatih, berjalan, membaca dan melukis warna, Ummi. Terima kasih. Ummi lah guru pertama nisa. Yang sanggup berpenat lelah dan bersusah-susah dari dulu hingga kini, terima kasih.
Jasamu kusanjung tinggi,
Kusambut setulus hati.
Selamat hari guru, para guruku.
Berkawad ke muka pintu peperiksaan sambil menyandang senapang tabah-
Dengan airmuka penuh amarah dan resah sebagai rencah-
Aku tiba! Dan kau, pasti akan kalah!
Dengan peluru pena berjenama Garisan berduta hero hindustan terkemuka Shah Rukh Khan
Kertas soalan pastikan ku taklukkan
Dengan izin Tuhan
Bersama impian
Semoga saja yang kali kedua ini-
Kali penghabisan.
Selamat menjawab soalan,
Buat sang Keon dan rakan seperjuangan!
Apalah sangat panahan susah
Kalau esok kan lebih cerah.
Kumpul dulu tenaga hati
Di bidai gebar bersulamkan mimpi.
Selamat malam.
Kopi tiga cawan
Membekas di hati kawan
Kantuk tak hilang,
Gusar ku pandang,
Kertas-kertas penuh tulisan
Seperti memomokkan masa depan.
Kopi tiga cawan
Resah disaljukan.
Semoga esok masih kau ada,
Tiga cawan kopi di tepi meja.
Bunga kuning di dada jalan
Akan menjadi saksi kita
Di remang petang ini.
Setiap kuntumnya merakam cerita
Tawa kita
Kecewa kita
Kesal kita kerana tertangguh bicara
Selama setahun sudah.
Dan di setiap kuningnya
Aku menghitung nasibku
Kerana kau
Masih menggelarkanku
Sahabatmu.