Thursday, October 10, 2013

Selamat hari jadi, Adik

Selamat hari jadi yang ke-11 buat adik bongsuku, Khairul Iman.

Semoga segala cita-citamu tercapai. Semoga menjadi anak yang soleh. Semoga menjadi Muslim sejati. Semoga menjadi syabab berhamasah tinggi, selalu menjulang Islam di tempat nombor satu dalam hati.

Semoga kita bertemu lagi di syurga nanti. Semoga hidupmu dalam terpuji, langkahmu terpelihara, hatimu murni.

Kaknisa tahu lantunan doa Kaknisa tak sehebat tulusnya doa ummi. Tapi adik, Kaknisa yang sulung ini, yang selalu kau katakan 'si tua' ini, sangat-sangat sayangkanmu. Dari khabar pertama kelahiranmu di gagang telefon foyer MRSM Gerik itu, Kaknisa sayangkanmu.

Kerana itu, Kaknisa tak mampu nak tolak apa pun pintamu, adik. Ke PetroSains lah. Ke Aquaria lah. Apa saja, adik. Apa saja, asal mindamu terbuka, imaginasimu luas, impianmu tak punya sekatan, dan agar Allah redha dengan Kaknisa (dan dengan adik juga!). Ameen.

Walaupun kita saja yang berkongsi bulan kelahiran dalam setujuh beradik kita, tak mengapa. Itulah istimewanya kita. Dan wajah kita juga yang paling serupa. Haha.

Adik, semoga terkabullah doa ummi, agar dirimu sebaik namamu, memiliki sebaik-baik iman.

Selamat Hari Jadi Adik.

Salam sayang,
Kaknisa
Davangere, India.

Tuesday, October 8, 2013

Pengemis ii

Aku, duduk di kerusi rotan dalam Kedai Kopi Seteguk.

Kuhela nafasku dalam-dalam. Masih terhidu-hidu bau hanyir darah di Bilik Bersalin Hospital Gisi sebentar tadi. Satu, dua, tiga...aku mengira nafasku. Nafas ini anugerah. Bukti nyawa masih terisi, di jasad berwayarkan darah.

Sekilas aku menoleh ke luar. Adik pengemis tadi, masih di situ. Duduk di sisi jalan berhadapan kedai kopi, menggosok kepala adiknya. Keras.

Ruang fikirku melayang kepada adik kecilku, Iman, di rumah. Entah apa pula pintanya pada cutiku yang bakal menjelang ini. Ayah bakal pencen tak lama lagi. Duit pencennya itu, sebahagiannya dihajatkannya hendak membawa kami bercuti. Destinasinya? Belum pasti.

Bila ditanyakan adik-adikku yang lain, bermacam tempat mereka cadangkan. "Korea! Korea!" jerit Sofi yang gilakan K-Pop. " Paris!" celah Nadia. "Holland! Ummi dah lama impikan berlari-lari di celah-celah hamparan tulip yang berwarna-warni!"

Ayah menoleh kepada Iman, yang leka bermain game Gegula Hancur di tablet milik ayah. "Iman nak pergi bercuti ke mana?"
"Haa? Cuti?" Iman diam sebentar, seolah berfikir dalam-dalam. "Iman nak pergi Zoo Negara. Seronok kan Ayah?"
Mata seisi keluarga hampir terjojol keluar se-terdengarkan bicara Iman Si Pencinta Haiwan.

"Madam, here's your menu." Sapaan kakak waitress yang kecil molek itu, terus memecahkan buih lamunanku di tengah hari panas itu. Aku senyum selayang kepada Kakak Waitress. Dia pun berlalu ke kaunter, hanya untuk melabuhkan lengan sambil badannya berpusing menghala ke televisyen yang memaparkan video klip lagu hindustan terkini.

Aku pandang lagi adik pengemis di luar kedai itu. Entah kenalkah atau tidak dia akan perkataan Zoo.

Monday, October 7, 2013

Hikmah Si Paru-Paru

Menghela nafas satu persatu
Seolah-olah ada batu berat di dalam peparu
Atau mungkin suatu jisim berkonsistensi jeli
Bila ditala dengan stetoskop
Bunyinya seakan-akan belon kehilangan angin
Berkeriut-keriut wajah peparuku
Entah apakah penyebabnya
Mungkin lantaran banyaknya dosa
Mungkin kerana Allah cinta
Mungkin, seberapa banyak kali mungkin pun aku senaraikan di sini
Tak jua hilang bunyinya

Syukur
Aku diperingatkan
Bahawa mati itu pasti
Dan nafas kau bukan percuma saja

Semoga terus beringat selepas ini
Bahawa sependek mana nafas terhela-
Yang menggerakkan otot interkostalku-
Cuma Dia.

Sembahlah Dia yang Maha Satu!
Teriak peparuku, satu persatu.

Saturday, October 5, 2013

Insafi

Heartburn.
Heart burnt.
Different entities, but equally menginsafkan.

Ya Allah, it's okay if you send more heart burns for me, if it means I get to get closer to You, and you'll be happier with me and my annoying being.

I'm so sorry that I'm so hard to be tamed and so selfish at most times. You know how much I regret some things, and am grateful at the same time that those things happen. Cz I know that Your arrangement is the best and the most unique for each of Your slaves' needs.

Let me be with You, Ya Allah. And want less of this lowly dunya. Ameen.

Friday, October 4, 2013

Realiti yang tidak Ideal

Kejadian:

- Baca buku bagai nak rak, topik-topik besar ditelaah walaupun demam, akhirnya yang keluar, tujuh soalan yang sangat rawak dan tidak popular pun.
Congenital anomalies of gall bladder and bile duct? Carcinoma rectum? Please.

- Katanya bersemangat bersemangat bersemangat kerana semalam ramai yang hadir melawat, tapi tewas tewas tewas, bangunnya lewat.

Realiti hidup di luar jangkaan selalu menyedarkan bahawa pemilik segala ilmu mengenai apa yang bakal berlaku, bukan kita. Kita kerdil. Kita berakal terhad. Terhad kepada idealisme yang bersandar kepada pengalaman sendiri, ilmu yang dikutip dan media massa. Sedikit yang maha.

Ya 'Alim! Permudahkanlah, dan kuatkanlah.

Wednesday, October 2, 2013

Appreciation

If we've never been in the dark, then we'll never appreciate the beauty of light coming in and spread through our lives, transmitted through our rod receptors.

If we've never tasted sweetness of a fruit, then we can never say that a fruit is sour, or less sweet than that.

If we've never experienced poverty, then we'll never know the sweetness of living in just what we have and still be happy.

Allah is the Most Just.

Mikroskopi jiwa

Mimik wajah yang durja, dan kata-kata yang kasar, seringkali bersinonim dan bersinkroni dengan jiwa yang resah, hati yang sedih, dan hidup yang sunyi.

Kerana ramai antara kita yang lupa, sebenarnya kita tidak pernah dan takkan pernah bersendiri.

Allah itu selalu bersama, sentiasa, dan sentiasa. Tak ada sepicing mata atau se-terlintas angin tanpa gelombang bunyi, yang tak tertangkap oleh-Nya.

Dan kerana itu, yang berada di sekitar insan yang sedih di dalam namun di tampang luarannya marah, bersabarlah, memahamilah, dan doakanlah.

Dan insan yang melampiaskan marah, ingatlah bahawa orang yang menahan marah adalah orang yang paling mantap dan hebat jiwanya, malahan terpuji di pentas masyarakat langit.

Hidup ini takkan pernah sempurna. Kerana ini dunia. Bukannya syurga.

Semoga kita bukan setakat mencium harumnya, malah termasuk golongan yang berpeluang memijak tanah hadiah penuh warna, sekaligus terlupa terus di dunia pernah sengsara. Hanya dengan rahmatMu Ya Allah.

Ameen, Ya Rabb.